Datuk Seri Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sentiasa terbuka untuk menerima kembali ahli-ahlinya yang dikenakan tindakan disiplin, termasuk mereka yang digantung atau dipecat, dipersoal Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammudin melihat gesaan yang disuarakan Ahmad Zahid dilihat canggung kerana bekas Naib Presiden UMNO itu tidak tahu punca beliau digantung parti.

“Yang saya tahu, dia (Ahmad Zahid) kata kita kena mohon diterima semula. Keduanya kena bawa ke Jawatankuasa Disiplin tapi bagi saya sampai hari ni tak tahu apa sebab saya digantung.

“Masa saya digantung dulu, Jawatankuasa Disiplin tak pernah panggil untuk siasat dan jawab.

“Saya pun tak tahu la sama ada yang diluahkan baru-baru ini ikhlas atau tak.

“Tapi saya tak tengok apa sebab saya kena letak nasib saya ke Jawatankuasa Disiplin yang MKT telah gantung saya tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023) bahawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersifat terbuka atas saranan perwakilan untuk menerima kembali ahli yang telah dikenakan tindakan disiplin sama ada dipecat ataupun digantung oleh parti.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, UMNO mempunyai Perlembagaan dan juga peraturan yang perlu dipatuhi sebelum menerima semula ahli yang dipecat atau digantung.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, beliau melihat perkara itu sebagai tidak masuk akal.

Jelasnya, sekiranya UMNO masih memerlukan khidmat mereka yang digantung dan dipecat, sikap sindiran perlu dihentikan kerana ia tidak menguntungkan parti.

“Tak masuk akal dan bagi saya, apa yang dicadangkan itu mungkin respons, luahan daripada bawah orang nak kita tengok diterima baik.

“Tapi itu terserah kepada mereka. Bagi saya kawan yang digantung pecat ni tak ada rugi. Kita dah digantung.

“Jadi kalau betul perlukan khidmat kita, sindiran dan tawaran bersyarat tak bawa apa-apa makna kepada diri saya,” jelasnya.

UMNO membuat ‘pembersihan’ parti apabila beberapa pemimpin UMNO telah digantung dan dipecat, antaranya adalah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan; Hishammuddin; bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. – MalaysiaGazette