Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan menunjukkan antara dadah yang dirampas daripada sindiket dadah antarabangsa menerusi tiga serbuan berasingan di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang bernilai hampir RM70 juta pada awal bulan ini

NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 454 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM70 juta dalam tiga serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor dan Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata dalam rampasan di Pelabuhan Klang, Selangor, pada pukul 9.45 pagi Selasa lepas, pihaknya berjaya merampas dadah disyaki kokain seberat 302.2 kg bernilai sekitar RM60.4 juta selepas memeriksa sebuah kontena.

Beliau berkata pemeriksaan itu dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

“Mereka memaklumkan mengenai sebuah kontena berukuran 20 kaki yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor. Berdasarkan maklumat ketika proses pembongkaran oleh JKDM, 10 beg guni mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis kokain ditemukan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati kontena dari sebuah negara di Amerika Selatan itu dalam proses transit ke sebuah negara di Asia Tenggara sebelum ditahan sebaik tiba di Pelabuhan Klang, dan ia dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan.

Zazuli berkata JKDM turut merampas 107 bungkusan plastik mengandungi ketamin seberat 126.5 kg dianggarkan bernilai RM7.6 juta yang ditemukan dalam 15 kotak yang disita di Kompleks Kargo Udara KLIA kira-kira pukul 8 malam pada tarikh yang sama.

Beliau berkata siasatan mendapati kotak barang yang dimport dari sebuah negara di Eropah itu tiba di kompleks kargo berkenaan sebagai destinasi terakhir, dan risikan mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu dalam dokumen pengimportan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi adalah mengisytiharkan barang mengandungi dadah itu sebagai periuk dan pasu seramik sedangkan ia adalah mengandungi ketulan dadah berbahaya. Siasatan masih dijalankan bagi mengesan suspek,” katanya.

Sementara itu dalam satu lagi kes pada 4 Jun lepas, Zazuli berkata pihaknya menemukan 25 paket ketamin seberat 25.3 kg bernilai sekitar RM1.5 juta disorokkan di bahagian belakang dinding sebuah kontena sejuk beku membawa makanan laut, yang disita selepas tiba dari sebuah negara Asia Selatan.

“Susulan itu, dua lelaki tempatan berusia 40an ditahan bagi membantu siasatan dan ketiga-tiga kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BERNAMA