menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi Tahun 2020 dibahaskan di Parlimen hari ini.

Usul dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Binti Othman.

Menurut beliau, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dan percaya sesi perbahasan akan memberi ruang dan peluang kepada semua lapisan masyarakat supaya suara mereka didengar melalui wakil rakyat masing-masing.

“Kebanyakan isu hak asasi manusia yang telah dibangkitkan semasa Perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi Tahun 2018 pada 5 Disember 2019 mahupun Laporan Suhakam selepas itu, belum lagi diselesaikan secara tuntas oleh Kerajaan sebelum ini.

“Isu-isu yang telah dikenal pasti dan tertunggak terus berulang Laporan 2020 dan intipati Laporan 2020 saban tahun termasuk dalam Laporan Tahunan Suhakam yang berada di hadapan kita, pada hari ini.

“Justeru itu, Kerajaan pada hari ini berpendirian bahawa perlu ada iltizam politik, dengan izin, political will bukan sahaja sekadar membentangkan Laporan Tahunan Suhakam dalam Dewan yang mulia ini tetapi laporan ini perlu dibahaskan serta disusuli dengan cadangan langkahlangkah penyelesaian bagi isu-isu yang telah dibangkitkan,” katanya.

Laporan Suhakam 2020 terdiri daripada tujuh bab yang menjelaskan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun 2020 dalam melaksanakan mandat Suhakam serta laporan terperinci pentadbiran dan kewangan sepanjang tahun.

Antara bidang tematik yang khususnya dilaporkan adalah Covid-19 dan hak asasi manusia, Orang Asli/Asal, pemerdagangan orang, pelarian dan pencari suaka, perniagaan dan hak asasi manusia, dan Islam dan hak asasi manusia.

Pelbagai syor bagi setiap isu yang dikaji dan iltizam politik dilaporkan turut dinyatakan dengan jelas dalam Laporan tersebut. – MalaysiaGazette