Anwar Ibrahim.-Foto MUHD NA’IM, 12 JUN 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua projek-projek kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai daerah minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas bagi pelaksanaan tersebut.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) bahawa projek kerja raya umpamanya sekolah daif, klinik daif, baik pulih tandas, tak perlu lagi dibebankan kepada JKR.

“Ia perlu dipindahkan tugas itu kepada jabatan atau pejabat daerah dan Insya-Allah pada minggu depan, saya akan berjumpa dengan semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan di bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.

Hadir sama pada perjumpaan itu, Fadillah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Kerajaan kini menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia dengan segera demi kebajikan anak-anak, sekali gus meningkatkan mutu pendidikan negara.

Perkara itu diumumkan Anwar sebelum ini apabila menyatakan, pendekatan kerajaan pimpinannya ialah memastikan semua sekolah bawah tanggungjawab kerajaan akan diperbaiki menerusi Belanjawan 2023.

Dalam pada itu, Perdana Menteri tidak menafikan projek-projek lain seperti pembinaan lebuh raya dan tebatan banjir penting untuk dilaksanakan.

Katanya, penegasan itu disampaikannya kepada Jemaah Menteri selain perbincangannya di Kementerian Kewangan serta bersama Ketua Setiausaha Negara.

“Kita mengumumkan yang baik-baik tetapi pelaksanaan itu ialah ketimbang suku tahun pertama tahun lalu adalah lebih baik, tetapi jangan buat ukuran dalam keadaan ketika Covid-19.

“Oleh itu, saya ingin menggesa minggu ini dalam semua jabatan dan mesyuarat, lihat apa yang diluluskan dan apa yang mula dilaksanakan, apa yang belum dilaksanakan, apakah kerana peruntukan tidak sampai, apakah kerana ditugaskan kepada kementerian lain.

“Sebab itu saya bagi arahan supaya disegerakan (siapkan projek-projek berkepentingan awam),” ujarnya. – MalaysiaGazette