Norliza (tengah) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana tipu daftar kelahiran anak saudaranya 22 tahun lalu.

MELAKA – Seorang pekerja ladang sawit didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas kesalahan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan pendaftaran kelahiran 22 tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Norliza Sahari, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mendaftarkan kelahiran Muhammad Faizul Hakimie dengan mengisi maklumat kad pengenalan atas nama Diana Mohamed sebagai ibu kandung di dalam borang permohonan pendaftaran kelahiran.

Perbuatan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada pukul 9.56 pagi 9 Julai 200.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 36(b) Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Mengikut fakta kes, hasil siasatan JPN Bentong mendapati tertuduh mengaku secara lisan bahawa penama Muhammad Faizul Hakimie adalah anak saudaranya dan bukan anak kandung Diana yang dinyatakan dalam borang permohonan (JPN.LM01) Nombor Daftar Kelahiran AW54721.

Difahamkan penipuan itu terbongkar ketika Muhammad Faizul Hakimie hadir ke JPN Bentong, Pahang untuk membuat kad pengenalan pertama tanpa ditemani ibunya pada 2021.

Hasil siasatan JPN, Diana Mohamed mengesahkan dia tidak mempunyai anak dan membuat laporan polis mengenai butiran kad pengenalannya digunakan orang lain.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Zukarnain Ahmad dan Mat Razali Samsuddin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 atau 12 bulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh membayar denda itu. – MalaysiaGazette