KUALA LUMPUR – Menjelang tempoh tamat penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hampir dua minggu lagi, kerajaan di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih di peringkat akhir pengagihan kerusi dengan parti gabungan masing-masing.
Ini termasuk pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk komponen Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan tinggal tiga peratus sahaja lagi akan selesai.
Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, setakat ini agihan kerusi PN di enam negeri sudah selesai 97 peratus.
Katanya, beberapa kerusi yang masih berbaki akan diputuskan dalam tempoh terdekat, dijangka sebelum tarikh pembubaran DUN diumumkan.
“Dalam perbincangan akhir Isnin minggu lalu, kita telah selesai agihan sebanyak 97 peratus kerusi daripada 245 kerusi.
“Sekarang ini masih ada lima atau enam kerusi lagi yang belum selesai. Itu tidak ada masalah kerana pilihan raya belum diumumkan lagi. Kita masih masa lagi untuk selesaikan,” katanya di Terengganu, semalam.
Beliau berkata, Pas-Bersatu-Gerakan akan mencapai kata sepakat bagi baki agihan kerusi itu sebelum DUN di enam negeri dibubarkan.
Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, bagi proses agihan kerusi di negeri itu, sudah mencapai 99 peratus.
“Di Terengganu, agihan kerusi telah selesai 99 peratus. Satu kerusi saja lagi belum diputuskan,” katanya. – MalaysiaGazette