SEOUL – Seorang lelaki Britain, George King-Thompson ditahan ketika memanjat Lotte World Tower – bangunan kelima tertinggi di dunia tanpa tali pada hari Isnin sehingga pihak berkuasa Korea Selatan memaksanya meninggalkan pendakiannya setelah lebih separuh mendaki bangunan yang setinggi di 123 tingkat.
Lelaki berusia 24 tahun itu, memakai seluar pendek, mendaki mercu tanda pencakar langit selama lebih sejam ketika anggota polis dan bomba berkumpul di bawah.
Pihak bomba telah menghantar 11 jentera bomba dan 54 anggota. Seramai 15 anggota polis turut hadir ke tempat kejadian.
King-Thompson telah dibawa turun sejam kemudian ketika dia sedang berehat di dinding luar tingkat 72.
Anggota bomba menggunakan gondola untuk mencapainya.
Dia sampai di antara tingkat 72 dan 73 – kira-kira 310 meter (1,020 kaki) dari tanah sebelum pihak berkuasa memaksanya berhenti.
Dia kemudian ditahan untuk disoal siasat.
Akhbar Chosun mengenal pasti lelaki itu sebagai George King-Thompson.
Media British pernah melaporkan dia ditangkap dan dipenjarakan kerana memanjat bangunan Shard di London pada 2019.
Pada 2021, dia memanjat Menara Stratosfera 36 tingkat, sebuah blok kediaman di kawasan kejiranan Stratford di London Timur dan sampai ke puncak dalam masa kurang setengah jam.
Katanya, dia memilih untuk memanjat bangunan itu kerana terkejut dengan banjir kilat yang melanda kawasan itu baru-baru ini dan mahu meningkatkan kesedaran tentang keseriusan perubahan iklim.
Pegawai Lotte berkata, lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan besar cuma luka pada kulit di lutut kanan. – Agensi