KUALA LUMPUR – Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang digubal untuk memacu pembangunan perindustrian dan kerumitan ekonomi negara.
Dilancarkan pada Ogos, matlamat NIMP2030 amat sejajar dengan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang telah mengenal pasti dengan jelas lima sektor yang dapat membantu meningkatkan eksport produk yang lebih kompleks pada masa depan, kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Sektor tersebut ialah aeroangkasa, kimia/petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik (E&E) (termasuk peranti perubatan) dan farmaseutikal,” katanya, sambil menambah daripada lima produk utama yang dieksport, hanya E&E dan kimia boleh dianggap sebagai produk dengan kerumitan yang tinggi.
Beliau berkata, semakin rendah kedudukan pada skala kerumitan, semakin kurang pembuatan yang diperlukan untuk menghasilkan produk.
“Oleh itu, jika kerumitan pengeluaran menentukan pertumbuhan masa depan kita, bagaimana kita dapat memastikan eksport masa depan kita terdiri daripada lebih banyak produk dengan kerumitan yang tinggi?,” katanya pada pelancaran Platform Perdagangan Digital (MDTP) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini hari ini.
Beliau berkata, untuk mencapai kerumitan ekonomi yang tinggi, Pasukan Petugas NIMP2030 turut merancang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya maju secara digital dengan mempercepatkan penggunaan teknologi, memacu syarikat inovasi teknologi generasi akan datang dan membangunkan peluang perniagaan dengan memanfaatkan sumber data baharu.
Ini terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat bersaiz sederhana.
Pada 2022, lima eksport utama Malaysia dari segi nilai ialah produk E&E (RM593.5 bilion; 38.3 peratus), produk petroleum (RM163 bilion; 10.5 peratus), minyak sawit (RM96.5 bilion; 6.2 peratus), kimia (RM80.6 bilion; 5.2 peratus) dan gas asli cecair (RM67.99 bilion; 4.4 peratus).
Nilai jumlah perdagangan Malaysia pada 2022 ialah RM2.85 trilion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM255.48 bilion.
“Jumlah perdagangan kita melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut. Pada Mac/April tahun ini, Malaysia menarik RM170 bilion potensi pelaburan langsung asing dari China dan mengenal pasti RM2.44 bilion potensi eksport ke China.
“Baru-baru ini, kami turut menarik RM24 bilion daripada pelabur Jepun dan RM2.1 bilion lagi potensi eksport ke Jepun,” katanya. – BERNAMA