Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer

KUALA LUMPUR – “Ketika itu beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) bersama-sama dengan kami. Prinsip perjuangannya bersama-sama dengan kami.

“Sekarang beliau telah mengikut dengan Pas dan Pas bersama-sama dengan beliau. Masa itu Tun M tidak sesat sekarang bersama-sama dengan (Pas) Tun telah sesat.”

Itu alasan RSN Rayer (Jelutong- PH) berikutan desakan supaya siasatan dilakukan terhadap Dr Mahathir sekarang berhubung kecederaan dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dipaparkan dalam filem Anwar: The Untold Story.

Rayer mendesak supaya Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri untuk menyiasat Dr Mahathir berhubung insiden berkenaan.

“Kalau perkara itu dilakukan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri) Rahim Nor atas arahan, saya tidak tuduh, saya tanya sahaja, siasat perkara itu dan kita bawa Tun Dr. Mahathir untuk menghadapi pertuduhan sebab tidak ada had masa.

“Kali pertama saya lihat filem The Untold Story berani mendedahkan apa yang berlaku kepada seorang insan biasa memperjuangkan hak rakyat Malaysia.

“Ini perkara yang patut kita lihat dan beri perhatian, saya guna kesempatan ini minta Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara ambil perhatian, kalau boleh ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Rayer menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduk (Parit Buntar – PN) yang bertanya, mengapa  beliau tidak menimbulkan isu berkenaan semasa Dr Mahathir memimpin Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Jawapan yang dilontarkan Rayer kemudiannya disambut gelakan sinis daripada ahli Parlimen pembangkang.

“Agak-agaklah. Oh, sebab dia tak bersama kamu, kamu tuduh dia sesat? Apalah Jelutong ini. Tukar tajuk ini. Tak payah ungkit perkara lama,” kata Mohd. Misbahul.

Sebelum ini, media melaporkan, Rayer mencadangkan supaya kerajaan menarik balik gelaran Tun yang dikurniakan kepada Dr Mahathir.

Rayer mendakwa cadangan itu dibuat susulan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu melakukan penghinaan terhadap institusi diraja dan pembabitannya dalam Proklamasi Orang Melayu.- MalaysiaGazette