BAYAN LEPAS – Polis menahan seorang wanita di Sik, Kedah pada Ahad lalu bagi membantu siasatan curi barang kemas milik birasnya bernilai lebih RM90,000.
Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, barangan kemas itu disedari hilang di Halaman Mayang 6, Bayan Baru di sini pada November 2022, sebelum biras suspek membuat laporan polis pada Sabtu lalu.
Jelas beliau, bertindak atas maklumat itu pihaknya menahan wanita berusia 34 tahun di rumah bapanya di Sik sebelum membawa kepada penemuan seutas rantai leher emas anggaran berat 79 gram (g) dan satu loket emas seberat 26g.
“Hasil siasatan mendapati pelbagai barang kemas milik mangsa yang diberikan ibunya bernilai lebih RM90,000 diletakkan dalam beg hitam di dalam almari ruang tamu di rumah ibu mentuanya hilang pada 5 November lalu.
“Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari kehilangan barang kemas itu pada 25 November. Selepas mengesyaki suspek yang mencurinya mangsa membuat pada Sabtu lalu.
“Suspek yang merupakan isteri kepada adik ipar mangsa itu mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan polis merampas 11 helai resit pajak gadai, seutas rantai leher emas anggaran berat 79g dan satu loket emas seberat 26g,” katanya hari ini.
Tambah Kamarul Rizal, suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi bilik gerakan IPD Barat Daya di talian 04 866 4122, 019 2238 169 (aplikasi WhatsApp) atau laman Facebook IPD Barat Daya menerusi Aplikasi Messenger. – MalaysiaGazette