Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Parlimen hari ini kecoh ketika Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggulung mengenai Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi tahun 2020.

Kekecohan itu berpunca apabila Zulkifli Ismail (Jasin-PN) bingkas bangun dan mendakwa Saifuddin membuat kenyataan berbaur fitnah.

Di dalam Dewan Rakyat, Zulkifli berkata: “Mohon (menteri) tidak buat fitnah, cakap benda mengarut”.

Zulkifli membuat kenyataan itu sebaik sahaja Saifuddin berkata memperjuangkan Islam adalah sesuatu yang wajib, menyokong kerajaan dianggap menyokong Islam dan menentang kerajaan ibarat menentang Islam, tidak boleh begitu.

“Islam agama keamanan, agama kasih sayang dan hormat menghormati, dan menganjurkan kasih sayang. Di mana fitnahnya? Silakan (Ahli Parlimen) Jasin, saya bagi izin dinmana kenyataan saya itu salah,” kata Saifuddin.

Zulkifli bertegas bahawa kenyataan Saifuddin mengandungi unsur-unsur fitnah.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan kenyataan Saifuddin yang dianggap fitnah.

“Kenyataan itu mengandungi unsur-unsur fitnah kenyataan seperti itu bertujuan jahat.

“Sepatutnya sebagai seorang menteri mengeluarkan idea dan pandangan yang memberikan manfaat dan menyelesaikan masalah yang berlaku di dalam negara kita daripada sudut krisis ekonomi, pendidikan dan kebudayaan sosial. Bukan mengeluarkan pandangan yang cuma menajamkan pertembungan,” katanya ketika mencelah.

Saifuddin kemudiannya menuntut agar Zulkifli memperincikan dakwaan tersebut.

“Jasin sila sebut di mana salah saya bila saya ungkap Islam adalah agama yang indah, Islam agama keamanan,” tegas Saifuddin.

Zulkifli menegaskan bahawa Saifuddin melakukan kesalahan dengan menyatakan: “Salahnya adalah dengan menyatakan demikian mengandungi unsur untuk menfitnah dan bertujuan jahat,” kata beliau.

Terdahulu, Saifuddin mengajak rakyat agar mengurangkan politik dan bertelingkah dengan idea.

“Kerajaan dikatakan mengamalkan politik dendam, jadi lebih baik kita kurangkan dan politik bermakna bertarung dari segi idea dan polisi, kemudian membiarkan rakyat memilih,” katanya di Dewan Rakyat.

Pertikaman lidah itu segera mendapat perhatian Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor.

Ramli berkata, biarpun ahli Parlimen mempunyai imuniti untuk bercakap apa pun di dalam Dewan Rakyat, namum ia harus tidak melanggar batas-batas yang telah digariskan.

Beliau kemudian mengarahkan Zulkifli untuk menarik balik tuduhan fitnah terhadap Saifuddin.

“Saya tidak akan menarik balik kerana saya tidak membuat apa-apa kesalahan. Saya menyatakan jangan buat fitnah,” katanya.

Zulkifli bagaimanapun akur arahan Ramli selepas tiga kali diarahkan berbuat demikian dan akan diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Baiklah oleh kerana saya dipaksa, saya menarik balik,” katanya.

Keputusan itu diterima Ramli dan sidang diteruskan semula dengan Saifuddin meneruskan penggulungan beliau. – MalaysiaGazette