KUANTAN – “Kami tidak menyalahkan dia 100 peratus, jauh sekali berdendam,” luah Siti Nursyazana Zulkifli, 23 terhadap pemandu lori yang dikatakan cuai sehingga meragut nyawa kakak dan adik bongsunya dalam nahas tragis malam tadi.
Namun, menurut Nursyazana, dia dan keluarga belum bersedia untuk memaafkan pemandu lori tangki itu, walaupun dia telah meminta maaf.
“Tapi saya dan kakak sempat bertanya, betul ke dia tertidur atau terlelap ketika kejadian? Sambil kepalanya tertunduk, dia cuma mengaku salah, mungkin terlelap.
“Nak kata berdendam tu tidak. Cuma proses nak memaafkan tu mungkin makan masa. Bukan sekarang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Lepar Hilir, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, ibu mangsa, Noor Zaimah Yunus @ Hasbullah, 53, masih sugul dan masih mengalirkan air mata mengenangkan pemergian dua anak perempuannya dalam sekelip mata.
Semasa kejadian itu, Proton Wira dinaiki Siti Nur Aliya Saffiya, 18 dan kakaknya Siti Mazurah, 30 dari arah Kuantan dirempuh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah bertentangan ketika menghampiri lampu isyarat masuk ke kawasan Felda Lepar Hilir.
Kedua-beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 12 tengah malam akibat tersepit.
“Mula-mula dapat berita mereka kemalangan, tak sangka seteruk itu. Makcik ingat kemalangan biasa. Tapi bila makcik pergi ke tempat kejadian, tengok kereta dia tinggal bonet sahaja, makcik mengucap panjang.
“Tak jauh pun daripada rumah, dalam empat kilometer nak sampai rumah,” luah Noor Zaimah sambil mengalir air mata.
Jelas ibu kepada enam anak itu, dia terkilan kerana kali terakhir bertemu Siti Mazurah ketika terserempak di tempat kerja mereka di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) semasa mereka bertukar syif.
“Dia dan suaminya berjauhan seminggu ni sebab suami dia kerja di Johor. Sebab itu dia tidur di sini seminggu ni. Patutnya malam tadi mereka jumpa sekejap sebelum suaminya kerja di Maran pula.
“Suaminya baru setapak keluar rumah mereka di Taman Tas sebelum dapat berita kemalangan dia,” ceritanya lagi.
Ditanya jika kedua mereka ada menunjukkan sikap ganjil akhir-akhir ini, Noor Zaimah berkata, anak bongsunya itu menjadi manja dan tidur bersama di biliknya sejak sebulan lalu kerana cuaca panas.
Sebelum kejadian juga katanya, Siti Nur Aliya Saffiya meminta dia mengirim makanan ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Batu 8, di sini.
“Dia ada minta macam-macam nak makan. Kirim donut gula, air Tealive. Tapi makcik tak sempat nak belikan.
“Makcik hanya sempat belikan nasi ayam geprek dan air teh hijau sahaja. Tak tahu lah dia sempat makan ke tidak,” ujarnya dalam nada cukup sedih.
Tambah Noor Zaimah, anak bongsu yang dipanggil Cu itu juga pernah bersuara untuk mencari kerja berhampiran dengan rumah.
“Makcik dengan kakak dia dah tinjau kedai-kedai yang dekat dengan rumah, ingat nak beritahu dia malam tadi. Tak sempat,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN