TOKYO – Lonjakan permintaan untuk kabin rehat di Gunung Fuji mendorong Jepun menggesa langkah kawalan orang ramai termasuk kemungkinan sekatan kemasukan semasa pendakian musim panas ini.
Pihak berkuasa tempatan dan persatuan pelancongan berhampiran gunung berapi terkenal itu memberi amaran jumlah pelancong akan lebih ramai pada musim panas ini.
Lantaran itu, mereka membangkitkan kebimbangan keselamatan dalam petisyen yang dikemukakan pada hari Isnin lalu kepada Gabenor Wilayah Yamanashi, lokasi laluan mendaki gunung popular itu.
Jumlah orang ramai yang akan mendaki gunung itu dijangka luar biasa selepas kelonggaran sekatan Covid-19 dan ulang tahun sambutan puncak Gunung Fuji sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Berdasarkan status tempahan semasa untuk kabin berdekatan, kami menganggarkan jumlah pendaki’ belum pernah berlaku’ sebelum ini,” kata petisyen itu.
Gunung tertinggi di Jepun itu dilitupi salji sepanjang tahun dan dibuka kepada pendaki dari Julai hingga September – menarik ratusan ribu pelancong yang mahu meredah malam untuk melihat matahari terbit.
Mereka yang tidak dapat menempah kabin gunung kemungkinan mendaki terus ke puncak tanpa berhenti dikhuatiri meningkatkan risiko penyakit ketinggian dan hipotermia.
Jika bilangan melebihi had tertentu, sekatan kemasukan harus dipertimbangkan “walaupun untuk masa yang singkat”, kata mereka, tanpa menyatakan jumlah maksimum yang sepatutnya.
Kebimbangan itu berasas kerana kes kematian berlaku setiap tahun.
“Bukan semudah itu mendaki Gunung Fuji,” kata pihak berkuasa tempatan dan persatuan pelancongan.
Gunung berapi aktif sepanjang 3,776 meter itu terletak kira-kira dua jam dari pusat Tokyo dengan menaiki kereta api. – Agensi