KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mati ditembak dalam kedai aksesori telekomunikasi di pusat perniagaan Bandar Sunway, Subang Jaya, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya kini memburu kedua-dua suspek yang berjaya melarikan diri dalam kejadian jam 1.35 tengah hari.
Katanya, semasa anggota polis sedang bertugas di Kaunter Pertanyaan Balai Polis Bandar Sunway telah didatangi orang awam memaklumkan seorang lelaki telah ditembak smasa berada di dalam sebuah kedai aksesori telekomunikasi.
“Pihak polis telah bergegas sampai ke tempat kejadian sebelum pemeriksaan di dalam premis itu mendapati mangsa adalah seorang lelaki India berumur 32 tahun terlantar dalam keadaan berlumuran berdarah akibat kesan tembakan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia apabila sampai di Hospital Serdang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, semakan mendapati mangsa yang meninggal dunia mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan samun dan curi dan polis masih menyiasat penglibatan mangsa dalam kongsi gelap.
Katanya, hasil siasatan di lokasi mendapati tiga lelaki masuk ke kedai itu sebelum salah seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Pihak Forensik PDRM telah hadir ke tempat kejadian dan siasatan dan pemeriksaan mereka dalam mengumpul bahan bukti berjaya menjumpai dua kelongsong peluru,
satu serpihan peluru, satu anak peluru, dua swab darah dan sepasang selipar di tempat kejadian.
“Polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
“Mayat mangsa akan dibedah siasat dan polis masih menunggu keputusan bedah siasat untuk menentukan kecederaan mangsa dan punca yang menyebabkan kematiannya,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, ASP Ahmad Faizal Shaikh Ab Rahim di talian 019-7506606. – MalaysiaGazette