KUALA LUMPUR – Selepas 35 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan untuk kembali ke dewan bedah dengan menyertai sektor swasta.
Beliau berkata, sejak bersara wajib pada 21 April lalu, pelbagai tawaran diterimanya, baik sebagai pakar bedah, perunding syarikat pengurusan mahupun pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Insya-Allah sekarang ini banyak tawaran supaya kembali kepada dewan bedah di sektor swasta, awam ataupun menjadi pensyarah.
“Belum ada pilihan, ramai orang melamar sahaja, ada juga dalam pengurusan beri nasihat kepada sektor-sektor swasta.
“Ini mungkin cara kita nak memperkembangkan pengurusan kesihatan di Malaysia dalam sektor awam dan swasta,” katanya pada Bicara Tokoh Pandemik Covid-19 sempena Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2023, di Arkib Negara Malaysia (ANM), di sini, hari ini.
Turut hadir bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, meskipun bergelar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sebelum ini, beliau tetap melakukan pembedahan.
“Saya dilatih sebagai seorang pakar bedah am, pakar bedah payu dara dan endocrine.
“Jadi memang saya mengamalkan pembedahan, dulu pun saya mengamalkan pembedahan sebagai Ketua Pengarah Kesihatan, seminggu sekali saya melaksanakan pembedahan.
“(Cuma) masa pandemik kita mungkin kurangkan pembedahan,” ujarnya.
Dr. Noor Hisham memberitahu, sebelum menerima sebarang tawaran, beliau mahu meluangkan masa bersama keluarga yang terabai sejak 35 tahun lalu kerana kesibukan dalam dunia perubatan.
“Sekarang ini sudah bekerja 35 tahun, masa untuk keluarga, masa untuk berehat sebentar sebab keluarga sudah terabai sejak 35 tahun.
“Sebelum kita mulakan apa-apa juga tugas, mesti akan sibuk kembali, sebab itu saya tak nak mulakan satu-satu tugas itu.
“Tapi apa yang penting ialah setiap individu kalau kita nak buat satu-satu kerja, kita kena bersungguh-sungguh,” katanya. – MalaysiaGazette