Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengadakan lawatan ke China untuk melihat sendiri bagaimana negara itu melatih anak-anak mudanya mengenai kemahiran dan modal insan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kemahiran itu boleh digunapakai dalam program Academy in Industry (AiI) yang diperkenalkan Rafizi dua hari lalu.

Kata beliau, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengadakan lawatan ke negara itu, tetapi sebagai Menteri Ekonomi perlu juga ke sana untuk menimba lebih banyak pengalaman China dalam melatih rakyatnya dengan ilmu kemahiran.

“Soal modal insan di negara ini, saya harap Rafizi terus berusaha mencari jalan untuk meningkatkan kemahiran rakyat kita.

“Untuk itu, saya cadangkan beliau pergilah melawat negara China untuk tengok lebih dekat macam mana negara itu melatih rakyat mereka.

“Kita tahu, China 30 atau 50 tahun dulu adalah sebuah negara miskin, tetapi atas usaha berterusan mereka kini menjadi sebuah negara terkuat dari segi ekonomi dan disegani musuh serta kawan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Isnin lalu, Rafizi dilaporkan berkata, sebanyak 200 syarikat dari pelbagai sektor disasarkan terbabit dalam program AiI sehingga hujung tahun ini bagi melatih seramai 20,000 pelajar lepasan sekolah untuk menjadi pekerja berkemahiran.

Di bawah program itu, kata beliau, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih oleh syarikat berkenaan selama 18 bulan dan mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 selepas tamat tempoh latihan.

Kaedah itu, katanya, lebih menarik untuk anak muda lepasan sekolah kerana daripada mereka pergi ke institusi pengajian tinggi kemudian belajar dua, tiga tahun baru hendak menyertai sektor pekerjaan.

Menurut Zaid, kerajaan Malaysia tidak perlu malu untuk belajar dengan China kerana negara itu baharu naik dalam sektor ekonomi dan sebagainya.

Jadi, katanya, tidak terlambat untuk Rafizi mencetuskan idea itu dan terjemahkan dalam negara.

“Agak janggallah kalau Menteri Ekonomi kita tidak pergi ke China. Saya harap dia pergi, belajar dari mereka. Lagipun kita adalah jiran dengan China. Bawa mereka latih kita dan melabur di sini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast