Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu sindiket penipuan yang menawarkan perkhidmatan jual beli kenderaan tidak wujud secara dalam talian mengakibatkan mangsa kerugian berjuta ringgit sejak 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket tersebut menggunakan iklan palsu dan akaun keldai bagi memperdayakan mangsa dan mengelak daripada dikesan.

Tambah beliau, siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah menawarkan kenderaan import terpakai dari Singapura, Thailand dan Jepun.

“Menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan, harga kereta yang ditawarkan sindiket penipuan berkenaan adalah jauh lebih murah dari pasaran semasa.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut kemudian akan diminta oleh sindiket untuk memasukkan wang ke akaun keldai yang diberikan kononnya untuk bayaran wang pemprosesan, cukai jalan, geran, cukai kastam dan sebagainya.

“Malangnya, selepas mangsa yang terjerat dengan modus operandi itu dan memasukkan wang seperti yang dikehendaki sindiket, kereta yang dijanjikan itu tidak diterima mangsa sehinggalah akhirnya mereka sedar menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamed Ramli, kes penipuan jual beli kenderaan secara dalam talian oleh sindiket berkenaan meningkat sejak 2021 yang mana sebanyak 309 kes dilaporkan dengan  kerugian sebanyak RM4.4 juta.

“Namun, jumlah ini telah meningkat kepada 1,336 kes bersamaan 332.4 peratus pada tahun 2022 membabitkan jumlah kerugian wang sebanyak RM18,884,583.06.

“Manakala, hanya bagi lima bulan pertama bagi tahun 2023 sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 818 kes telah dicatatkan dengan kerugian kewangan oleh mangsa mencecah RM9,707,417.25,” kata Mohamed Ramli.

Mohamed Ramli menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan harga jualan semasa di pasaran kereta terpakai bagi mengelak daripada ditipu. – MalaysiaGazette