R.Ramasamy. -Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy menyifatkan tindakan Pas menyamakan kehilangan tanah milik orang Melayu di negeri itu dengan kehilangan tanah penduduk Palestin kepada rejim Israel sebagai tidak masuk akal.

Beliau menegaskan tindakan Pas memberi gambaran bahawa tanah Melayu sedang diambil-alih secara sistematik oleh orang bukan Melayu atau kerajaan negeri adalah satu cubaan untuk mengapikan isu perkauman.

“Seperti yang dikatakan oleh seseorang, menyamakan kehilangan tanah Palestin kepada Israel dengan kehilangan tanah Melayu di Pulau Pinang adalah sesuatu yang bandingan yang buruk bagi mereka di Palestin.

“Wilayah Palestin diduduki oleh tentera Israel, ia tidak begitu banyak berkait dengan kehilangan tanah, tetapi jenis pendudukan yang paling teruk. Malah, dalam keadaan pendudukan dan pemerintahan tentera, ia tidak boleh dikategorikan sebagai sesuatu perkara yang mudah iaitu pemilikan tanah.

“Mungkin berlaku kekurangan dalam bilangan tanah persendirian Melayu dan bukan Melayu akibat pembandaran dan pengkomersilan,” tegasnya.

Katanya, Pas tidak sepatutnya berkongsi data pemilikan tanah orang Melayu tahun 2010 sebaliknya parti itu perlu tampil dengan dengan maklumat terkini di kedua-dua bahagian Pulau Pinang.

“Dalam banyak situasi atau isu sebelum ini, Pas mudah lari dengan membuat dakwaan keji tanpa mengemukakan bukti.

“Pas sering mengulangi separuh kebenaran dan pembohongan semata-mata kerana ia terlepas begitu sahaja tanpa tertakluk kepada siasatan yang ketat.

“Sekiranya orang ramai tidak disalurkan dengan maklumat yang tepat, Pas dengan sering mengulangi pembohongan mungkin akan mengubahnya menjadi kebenaran,” katanya.

Menurut Ramasamy, pemilikan tanah di Pulau Pinang adalah satu perkara yang kompleks.

Pemilikan tanah oleh orang Melayu terdiri daripada hak milik individu, pemegang amanah dan wakaf.

“Saya tidak pasti bahawa Pas sedang mengeluarkan kenyataan berhubung yang mana satu atau kesemuanya.

“Memandangkan pilihan raya negeri semakin hampir, orang ramai harus menyediakan diri untuk melihat dakwaan lain yang tidak masuk akal daripada Pas,” katanya lagi.

Malaysiakini semalam melaporkan, Pas memainkan isu agama dan kaum, kali ini dengan menyamakan isu pemilikan tanah di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin serta Israel.

Portal itu mendakwa, Pas mengetengahkan isu tersebut di media sosial dan membangkitkan bagaimana Israel menguasai tanah Palestin dari 1.5 peratus pada 1918 sehinggalah rakyat Palestin menjadi pelarian di negara sendiri.

Menurut artikel itu, Pas mendakwa kajian pada 2010 mendapati pemilikan tanah orang elayu di Pulau Pinang hanya tinggal 27 peratus dan mendakwa Pulau Pinang membuat “rampasan bersistem” dalam mengambil alih pemilikan dan menguasai kawasan yang asalnya majoriti Melayu-Islam.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast