KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Kertas Putih Kesihatan yang diusulkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Usul tersebut mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas.
Seramai 28 Ahli Parlimen membahaskan Kertas Putih Kesihatan berkenaan selama hampir empat jam.
Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memberi fokus kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera.
Laporan itu menyediakan pelan kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang.
Kertas Putih tersebut hasil libat urus kementerian bersama 847 agensi dan 7,729 wakil antara Mac tahun lalu hingga bulan ini.-MalaysiaGazette