KUALA LUMPUR – Gaya penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan ketiga Harimau Malaya ketika pasukannya membelasah Kepulauan Solomon 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak malam tadi akhirnya terjawab.
Gelagat pemain kelahiran Dungun, Terengganu yang lebih mesra dipanggil ‘Pawi’ itu sebenarnya ditujukan kepada isterinya, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin atau lebih dikenali Syifa Melvin yang kini berbadan dua.
Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 26 tahun itu berkata, isterinya yang juga pelakon itu kini hamil hampir enam bulan dan dijangka mendapat cahaya mata pertama pada September ini.
“Alhamdulillah, rezeki saya pada malam ini (malam tadi) dapat menjaringkan gol ketiga pasukan negara yang tidak kurang menariknya, ini azam saya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
“Sebenarnya saya raikan jaringan itu dengan meletakkan bola ke dalam jersi yang saya pakai kerana terlalu gembira selepas isteri saya kini hamil hampir enam bulan, jadi doakan kami semoga selamat dan menimang anak pertama nanti.
“Selain itu saya juga gembira kerana sudah lama tidak menjaringkan gol bersama skuad kebangsaan, kali terakhir menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika membantu pasukan negara menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi kelayakan ke Piala Asia Jun tahun lalu.
“Lebih manis jaringan ini dapat dicipta di bumi kelahiran saya di depan ribuan peminat Terengganu terutamanya dan Harimau Malaya, lagi pun selepas saya berhijrah bersama pasukan JDT, saya jarang beraksi di stadium ini (SSMZA) yang menjadi tempat latihan bersama Terengganu dan juga T-Team.
“Jadi jaringan itu juga saya hadiahkan kepada peminat di sini,” kata Pawi ketika ditemui selepas tamat perlawanan antarabangsa itu.
Ketika ditanya adakah dia mahu kembali menyarung jersi pasukan negeri kelahirannya pada jendela kedua perpindahan pemain musim ini – pemain yang pernah beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman pada tahun 2020 itu memohon maaf kepada peminat setia Terengganu FC (TFC).
“Buat masa ini, saya kekal bersama pasukan JDT, keputusan ini muktamad kerana saya mahu bekerja lebih keras lagi untuk membantu pasukan ini (JDT).
“Mungkin sampai masanya nanti dan ada rezeki, saya kembali ke Terengganu, siapa tahu, jadi saya mohon maaf kepada semua peminat yang mahukan saya menyarung jersi TFC, lagi pun sebelum ini itu semua adalah khabar angin,” katanya.
Pawi turut mengakui penghijrahannya bersama kelab Thailand, Ratchaburi FC dengan meledak satu gol menerusi 13 penampilan sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi persembahannya selain latihan secara konsisten bersama JDT sebaik kembali ke tanah air.
Berdasarkan rekod, gol pemain itu ketika menentang Kepulauan Solomon adalah jaringan ke-19 bersama skuad kebangsaan selepas 53 penampilan manakala bersama JDT, Pawi sudah mengumpul 27 gol hasil 86 penampilannya dengan skuad Harimau Selatan itu.
Selain Pawi, tiga gol lagi dijaringkan dua pemain naturalisasi negara, Paulo Josue dan Lee Tuck serta pemain meningkat naik, Arif Aiman Mohd Hanapi menerusi sepakan penalti manakala gol sagu hati pelawat dijaringkan Raphael Lea’i. – MalaysiaGazette