KUALA LUMPUR – Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) disaran supaya memikirkan secara serius kaedah atau pendekatan terbaik untuk memartabatkan Bahasa Melayu yang bersesuaian dengan institusi masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, selain itu, adalah dicadangkan agar lulus subjek bahasa Melayu peringkat komunikasi asas menjadi syarat graduasi bagi pelajar prasiswazah antarabangsa.

Katanya, melalui pendekatan tersebut, ia bukan sahaja mempamerkan keseriusan dalam mengangkat penggunaan bahasa Melayu yang baik, malah mengembangkan kelompok penuturnya di samping berpeluang menunjukkan keindahan Bahasa Melayu kepada orang luar.

“Seperti kata patah Melayu, hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

“Saya harap pelan ini akan menjadi rujukan penting dalam memperluas penawaran kursus bahasa Melayu untuk kakitangan akademik dan bukan akademik, meningkatkan bahan bacaan, koleksi dan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidkan Tinggi Awam (IPTA), di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, beliau berharap agar semua IPT akan menyusun strategi terbaik bagi melibatkan semua pihak di dalam insttusi masing-masing di luar kelompok akademik.

Katanya, usaha memperjuangkan Bahasa Kebangsaan tidak harus hanya dipikul oleh ahli akademik dan pencinta bahasa sahaja sebaliknya, ia memerlukan sokongan semua pihak kerana Bahasa Melayu perlu dipandang sebagai khazanah negara yang bernilai tinggi.

“Saya yakin, apabila kita melancarkan pelan memartabatkan bahasa Melayu ini sebagai bahasa ilmu di IPTA, soalan yang akan kita terima sudah pastilah, bagaimana pula dengan IPTS (Institusi Pendidikan Tinggi Swasta).

“Walaupun saya akui, fokus dan operasi IPTS yang tidak bergantung kepada dana Kerajaan memberikan mereka sedikit kebebasan dan kelonggaran dalam menentukan bahasa penghantar yang digunakan.

“Namun, IPTS sebenarnya tidak pernah terlepas daripada turut menyambut dan menyokong agenda nasional. Apatah lagi di bawah pentadbiran saya, KPT tidak membeza-bezakan IPTA dan IPTS,” ujarnya.

Justeru, Mohamed Khaled menegaskan, bahawa inisiatif-inisiatif memartabatkan dan mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan turut dipanjangkan ke IPTS secara berperingkat-peringkat.

Jelasnya, KPT akan memulakan dengan beberapa langkah awal antaranya, membuka pencalonan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu agar turut melibatkan ahli-ahli akademik dari IPTS bermula tahun depan.

Katanya, bagi jangka panjang pula, KPT turut merancang untuk membangunkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu di IPTS dalam memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu di sektor pendidikan tinggi akan bersifat menyeluruh, praktikal dan strategik.

Tambah beliau, sekiranya UIA yang merupakan sebuah institusi antarabangsa yang beroperasi menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab boleh mempamerkan komitmen dan usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu, beliau tidak melihat wujud alasan di pihak IPT-IPT lain untuk tidak melakukan perkara sama. – MalaysiaGazette