Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan kadar bayaran RM1 di klinik dan hospital kerajaan akan dikekalkan.

Menjelaskan di Dewan Rakyat ketika penggulungan Kertas Putih Kesihatan, Zalina berkata, kadar fi rendah di klinik dan hospital kerajaan tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya hingga memberi kesan pada golongan tidak berkemampuan.

Tegas beliau, langkah penstrukturan semula kadar fi di fasiliti penjagaan kesihatan awam yang dicadangkan dalam Kertas Putih Kesihatan tidak akan dilaksanakan dengan kadar segera.

“Sebarang perubahan struktur fi bukanlah sesuatu yang akan dijalankan dengan segera dan sewenang-wenangnya.

“Ia akan diteliti secara rapi dan telus dengan analisa wajar serta libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

“Paling penting ialah memastikan rakyat, terutama golongan tidak berkemampuan dan golongan rentan tidak terkesan, selain akses kepada perkhidmatan kesihatan mereka akan terus dapat dinikmati,” katanya

Beliau memaklumkan cadangan itu akan diteliti secara rapi dan telus serta membabitkan libat urus dengan semua pihak berkepentingan, sebelum dipertimbang untuk dilaksanakan.

Zalina turut memberi jaminan fasiliti kesihatan kerajaan yang diberikan autonomi akan kekal di bawah pemilikan KKM sebagai organisasi tidak berasaskan keuntungan dan tidak akan diswastakan.

Tujuan utama pemberian autonomi kepada fasiliti KKM adalah untuk memberi fleksibiliti kepada fasliti berkenaan dari segi pengurusan.

Ia bagi membolehkan persaingan sama rata antara sektor awam dan swasta serta membolehkan integrasi perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh.

“Namun, sebarang fi perkhidmatan akan ditentukan oleh kementerian melalui reformasi kewangan dan pembelian strategik sistem kesihatan. Pembelian perkhidmatan juga akan dirunding.

“Parameter autonomi seperti pengurusan kewangan dan pengambilan kakitangan juga akan dibincangkan secara fasa perancangan kelas pelaksanaan,” katanya.

Kertas Putih Kesihatan menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang.

Dokumen setebal 57 halaman yang dimulakan kerajaan terdahulu, menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bagi mewujudkan satu sistem kesihatan yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif supaya rakyat kekal sihat dan sejahtera.

Seramai 28 Ahli Parlimen membahaskan laporan itu selama hampir empat jam sebelum diluluskan secara majoriti melalui undian suara hari ini. – MalaysiaGazette