KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi tuan rumah penganjuran Sidang Kemuncak Mobilisasi Belia Asia-Pasifik 2023 mulai hari ini hingga 18 Jun di Petaling Jaya.
Pengarah sidang kemuncak berkenaan, Theodorus Clarence Tessensohn berkata, selaras dengan Pelan Rantau Asia-Pasifik 2022-2025, program tersebut diharap menjadi permulaan kepada usaha memperkasakan pendidikan bukan formal.
Menurut beliau, ia juga bertujuan membangunkan generasi muda dengan kompetensi yang diperlukan untuk menyelesaikan isu komuniti tempatan dan global serta menjadi warganegara aktif.
“Sidang kemuncak ini menyediakan landasan untuk organisasi-organisasi belia terkemuka meneroka dan mengkaji kaedah-kaedah untuk mereka bekerjasama dalam satu projek kolaborasi.
“Ia juga mempunyai objektif untuk mengkaji, membentuk dan menguji satu projek rintis dalam kalangan orang muda organisasi belia berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sidang kemuncak yang melibatkan 150 peserta dari 22 negara di rantau Asia-Pasifik itu dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Mohd Zin Bidin.
Lima organisasi belia peringkat antarabangsa yang menyertai sidang kemuncak itu adalah Pertubuhan Pergerakan Pengakap Dunia (WOSM), World Assosiation of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS), The International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC), Young Men’s Christian Association (YMCA) dan The Duke of Edinburgh.
Tessensohn menambah, melalui sidang kemuncak itu, sekurang-kurangnya satu projek kolaborasi peringkat rantau Asia-Pasifik dan peringkat kebangsaan akan diimplementasikan dalam masa tiga tahun.
“Kesannya, projek ini akan menjadi sumber inspirasi untuk pelbagai projek kolaborasi dilaksanakan di negara-negara lain, negeri-negeri di Malaysia dan seterusnya ke peringkat akar umbi,” jelasnya.
Sepanjang empat hari penganjurannya, lima organisasi belia terlibat akan berkongsi amalan terbaik yang mereka laksanakan berhubung mobilisasi belia dan kerjasama untuk pembangunan mampan.
Selain itu, pelbagai sesi makmal juga diadakan untuk para peserta berbincang dan mewujudkan idea-idea projek kolaborasi yang boleh diimplementasikan bersama.
Bengkel SDG juga akan dikendalikan oleh rakan kerjasama sidang kemuncak iaitu mySDG Academy manakala para peserta bakal mengikuti program lawatan sambil belajar ke Taman Tugu pada hari ketiga.
Salah satu pengisian menarik semasa lawatan ke Taman Tugu adalah organisasi-organisasi belia terbabit akan melakukan aktiviti ‘pokok angkat’ sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dan sidang kemuncak berkenaan.
Sidang kemuncak tersebut akan menghasilkan deklarasi yang seterusnya akan dibentangkan kepada organisasi-organisasi belia di rantau Asia-Pasifik. – MalaysiaGazette