Mohamed Khaled Nordin menyaksikan acara menandatangani Memorandum Perjanjian antara MAC dan UKM.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini berada dalam landasan yang tepat dalam pemerkasaan pendidikan tinggi secara digital di Malaysia.

Hari ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berganding bahu dengan Malaysian Academic Consortium Sdn. Bhd. yang dikenali sebagai MAC untuk menjayakan program micro credentials melalui platform yang lebih terbuka dan bersepadu yang dikenali sebagai Pelantar Micro Credential ”Kolektif”.

Majlis pra pelancaran pelantar ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Putrajaya.

Platform ini dibangunkan bagi kegunaan ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia dan aksesnya terbuka kepada semua universiti awam.

Platform ini juga direka khusus untuk memenuhi keperluan digitalisasi negara melalui pengajaran dan pembelajaran secara atas talian dan hibrid.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, keunikan hala tuju UKM bersama MAC adalah kaedah penyampaian perkhidmatan yang diberikan melalui micro credentials yang akan menggunakan automasi dan teknologi baharu seperti Artificial Intelligence (AI).

Selain itu, beliau turut memaklumkan pendekatan pembelajaran melalui platform ini juga akan memberikan penjimatan yang ketara kepada UKM dan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang lain.

Di  samping itu ia melonjakkan inovasi pembelajaran sedia ada dengan kebolehan digital dan teknologi terkini.

Majlis pada hari ini turut menyaksikan acara menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara MAC dan UKM.

MAC diwakili oleh  Datuk  Dr. Shahril, Profesor Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa, Ketua Eksekutif MAC manakala UKM diwakili oleh Naib Canselornya.

MoA ini disaksikan oleh Mohamed Khaled dan Mohamed Haniffa, Pengerusi Eksekutif, MAHSA Sdn. Bhd.

Selain, itu turut diadakan acara menandatangani Surat Niat bersama-sama sembilan buah IPT yang lain iaitu UniSZA, UTHM, UTM, UPNM, UUM, UTEM, UNIMAP, UMS dan UMP. – MalaysiaGazette