Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang disyaki menyamun sebuah kedai telefon dan menetak pengawal keselamatan dengan kapal di Kompleks Menara Condong Teluk Intan pada 3 April lalu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Perda Barat, Bukit Mertajam, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, menerusi serbuan itum polis turut merampas barang yang disyaki disamun suspek terdiri daripada 23 telefon bimbit jenis iPhone, seutas jam tangan Apple Watch, sebuah iPad, dua pen tablet jenama Samsung serta wang tunai RM853 selain sebuah beg pakaian, sebuah kereta Proton Wira, sekeping kad TouchNGo dan serangkai kunci kereta.

“Hasil serbuan pasukan polis berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun sekaligus telah berjaya menyelesaikan kes samun di dalam kedai menjual telefon di Kompleks Menara Condong Teluk Intan, Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati suspek masih bujang dan menuntut di salah sebuah IPT di Pulau Pinang.

Tambah beliau, suspek didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah dan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

“Hasil soal siasat awal polis ke atas suspek mendapati mengaku terlibat dalam kes ini secara bersendirian.

“Kini suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga 17 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dengan mendatangkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan jika disabitkan kesalahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette