Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan peniaga ketika melawat Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Inisiatif kerajaan memperkasakan penjaja kecil di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan menaik taraf gerai di situ diibaratkan sebagai ‘nafas baharu’ buat golongan itu untuk menjalankan perniagaan mereka selepas ini.

Rata-rata mereka berkata, ia berikutan pusat itu sudah lama memerlukan pembinaan baharu serta naik taraf bagi membolehkan mereka berniaga dengan selesa di gerai yang lebih baik dan kelihatan bersih.

Golongan peniaga juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup hadir meninjau kerja-kerja menaik taraf itu yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur.

Bagi seorang peniaga roti canai, Mohd. Raziman Jasman, dia meluahkan rasa terharu dan seronok apabila tidak menyangka pemimpin nombor satu negara hadir ke pusat itu.

Peniaga, Mohd Raziman Jasman bercakap kepada media di Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

“Sejak menjadi perdana menteri, pusat ini telah berubah apabila dinaiktaraf dan dari situ kita rasa macam gembira dan rasa disayangi oleh pemimpin negara.

“Sebelum ini keadaan di sini agak uzur sedikit namun sekarang tiba-tiba boleh berubah dengan lebih selesa dan cantik dengan cat baharu seolah-olah tidak percaya.

“Pengunjung juga semakin ramai dari dalam dan luar negara yang tertarik untuk datang menikmati selera di sini.

“Justeru saya ingin ucap terima kasih dan bersyukur apa yang dilakukan perdana menteri yang mencetus idea dan memperuntukan bajet untuk penjaja kecil di sini,” katanya yang mewarisi perniagaan arwah bapa sejak 20 tahun lalu.

Peniaga, Yuen Wai Kee bercakap kepada media di Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

Pendapat sama dikongsi pengusaha gerai makanan Cina, Yuen Aai Kee, 53, yang gembira apabila Anwar datang pertama kali ke pusat penjaja sejak dia berniaga 60 tahun lalu.

“Saya ambil alih dari bapa saya yang kini berusia 80 tahun dan masih sihat. Sudah tentu saya seronok kerana pusat ini sudah bersih dan tidak berada dalam keadaan panas lagi.

“Pelanggan pun semakin ramai dan bisnes pun lebih baik berbanding sebelum ini. Terima kasih kepada perdana menteri yang buat naik taraf tempat kami yang kecil jadi cantik dan pelanggan kini tidak putus-putus datang,” katanya.

Sementara itu, peniaga nasi lemak, Azman Kastumi, 59, pula terkejut dengan kehadiran Anwar yang mengunjungi pusat itu di awal pagi.

Beliau juga berharap dengan kehadiran perdana menteri itu dapat mempromosikan lagi nama Pusat Penjaja Madani agar lebih terkenal dan dikunjungi orang ramai selepas ini.

Peniaga, Azman Kastumi bercakap kepada media di Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa DBKL akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain, termasuk warga asing.

Beliau berkata, pihaknya bersama DBKL sedang merangka kaedah bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi, dalam memastikan ia memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

“Saya punya rencana dengan Datuk Bandar (Kuala Lumpur) dan Pengarah (Pengurusan Tertinggi DBKL), untuk cari jalan (bagi memastikan penjaja) ikut peraturan dan lesen diberikan kepada penduduk tempatan.

“Kalau dia (penjaja) serah kepada yang lain, kita akan tarik balik (lesen),” katanya kepada pemberita selepas sesi Temu Mesra Perdana Menteri di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika melawat Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

Sementara itu, Anwar turut mengulangi iltizam untuk menaik taraf fasiliti dan imej ibu kota termasuk gerai penjaja demi keselesaan rakyat.

“Ada beberapa kawasan pembersihan air, (saliran) parit, dan bumbung, yang akan kita perbaiki segera pada tahun ini juga,” katanya.

Sebelum ini Anwar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) terutamanya di kawasan bandar.

Terdahulu Anwar meluangkan masa kira-kira 40 minit meninjau, beramah mesra dan bersarapan, bersama penjaja di Pusat Penjaja Madani di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang telah dinaik taraf menerusi inisiatif Lestari Niaga @ Kuala Lumpur.

Inisiatif tersebut bertujuan menaik taraf fasiliti gerai peniaga kecil dan penjaja sedia ada di Wilayah Persekutuan, kepada yang lebih kondusif dan selesa.

Pusat penjaja yang dahulunya dikenali dengan nama Pusat Penjaja Jalan Tuanku Abdul Rahman itu dibina pada 1974 dan mempunyai 20 unit gerai, telah dinaik taraf bermula Mac dan siap pada April 2023.

Antara kerja naik taraf dilaksanakan ialah pertukaran dan penambahbaikan bumbung, pendawaian semula, penggantian semula kipas dan lampu, serta penggantian paip pecah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir melawat Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

Sementara itu Anwar dalam kenyataan di laman Facebook berkata, inisiatif Pusat Penjaja MADANI di Jalan Tuanku Abdul Rahman, merupakan kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama DBKL.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan bagi memperindah serta memberi keselesaan kepada peniaga untuk mencari rezeki, selain menjadi antara lokasi tarikan pengunjung.

Perdana Menteri berkata, di bawah inisiatif yang sama, DBKL sedang melaksanakan penyelenggaraan di seluruh 68 pusat penjaja milik DBKL di sekitar ibu kota.

“Sambil kita sibuk membangunkan gedung dan mercu tanda, usah kita sisihkan penjaja dan peniaga yang juga mahukan tempat yang selesa, beserta kemudahan kepada mereka dan juga pengunjung,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai ketika melawat Pusat Penjaja Madani Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 JUN 2023.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast