PUTRAJAYA – Universiti Tenaga Nasional (Uniten) telah mengadakan pameran yang menggabungkan ilmu, inovasi, sains dan seni pada Hari Terbuka
Institut Informatik dan Pengkomputeran Tenaga (IICE) bertempat di Kampus Putrajaya Uniten, baru-baru ini.
Bertemakan “Informatik Tenaga: Simbiosis Seni, Sains & Kelestarian”, program ini menampilkan tiga aktiviti menarik yang perhatian pengunjung iaitu Siri Syarahan Tan Sri Leo Moggie, Pameran Penyelidikan dan Inovasi serta Pameran Seni, Sains dan Fotografi.
Acara utama bagi program ini adalah siri syarahan bertajuk Angkasa Lepas: Punca Tenaga Utama untuk Masa Depan yang telah disampaikan oleh bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Malaysia (Angkasa), Prof. Emerita Tan Sri Dr. Mazlan Othman.
Beliau berkongsi mengenai masa depan tenaga, dengan memberi tumpuan kepada potensi jirim gelap dan tenaga gelap, iaitu dua fenomena yang membentuk 95 peratus komponen alam semesta.
Perkongsian tersebut memberi satu perspektif baharu tentang kepentingan tenaga di ruang angkasa.
Sementara itu, Pameran Penyelidikan di lobi utama Uniten menampilkan projek penyelidikan terkini oleh penyelidik dari IICE serta sarjana pasca kedoktoran Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Pameran itu menonjolkan kepelbagaian antara bidang dan tarikan informatik tenaga yang meliputi kecerdasan buatan (AI), blok rantai, keselamatan siber, tenaga bio dan kimia.
Menariknya, sebuah pameran Seni, Sains, dan Fotografi turut diadakan bersempena program ini di Sunken Garden UNITEN.
Pameran seni yang bertajuk “The Ways of the Heart vol. 2” ini menampilkan koleksi 20 lukisan oleh penyelidik dari Poland, Dr. Dominika Gołębiewska dari Akademi Seni Halus di Gdańsk, dan Dr. Beata Kołakowska dari University of Warmia dan Masuria di Olsztyn.
Program Hari Terbuka IICE ini turut mempamerkan karya seni hebat daripada koleksi Di8IT, iaitu suatu kumpulan penyelidik merangkap artis terdiri daripada warga Uniten, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Selain itu, 10 foto menarik daripada mahasiswa Uniten yang merupakan pemenang Kelas Fotografi Digital 2023 turut dipamerkan.
Naib Canselor Uniten, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan menyifatkan penganjuran Hari Terbuka IICE ini adalah selari dengan identiti UNITEN yang sentiasa kreatif, inovatif, dan dinamik.
Noor Azuan berkata IICE merupakan pusat utama bagi pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan dalam bidang informatik tenaga.
IICE aktif menjalinkan kerjasama antara pakar akademik, industri tenaga dan korporat bagi menangani cabaran semasa dan masa hadapan dalam industri tenaga.
Selain itu, penubuhan Kursi Tan Sri Leo Moggie dalam Informatik Teknologi pada 2020, yang ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad, telah meletakkan UNITEN di barisan hadapan penyelidikan tenaga informatik. – MalaysiaGazette