KUALA LUMPUR – Terdapat banyak isu kesihatan yang boleh dibawa ke Dewan Rakyat berbanding isu pakaian seragam jururawat terlalu ketat, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, antara isu yang boleh dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih adalah nisbah jururawat yang perlu rawat 454 pesakit dalam satu masa.
“Kita juga kekurangan lebih 20,000 doktor kontrak tanpa jaminan pekerjaan ditambah dengan kekurangan 2,500 doktor psikiatri seluruh negara.
“Paling ketara kesesakan wad di hospital kerajaan, termasuk di zon utama dan zon kecemasan termasuklah fasiliti klinik yang daif dan ketinggalan,” katanya di Facebook beliau, hari ini.
Syed Saddiq mengulas ucapan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu turut menyarankan semua Ahli Parlimen agar berusaha mencari jalan penyelesaian dari peringkat dasar dan bukannya memberikan pandangan yang tidak membina.
“Banyak lagi isu yang perlukan perhatian Dewan Rakyat,” katanya lagi.
Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, Wan Razali yang mewakili Perikatan Nasional berkata, ramai jururawat wanita berpakaian ketat mengikut acuan Barat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam. – MalaysiaGazette