Seorang anggota polis berpangkat rendah dimaki oleh seorang pegawai kanan wanita PDRM tular dalam media sosial di sekitar Gombak.

KUALA LUMPUR – Satu rakaman video tular di aplikasi media sosial memaparkan seorang wanita yang mendakwa pegawai kanan polis memaki hamun seorang anggota berpangkat lans koperal.

Ia mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.

Pengamatan dalam dua klip video yang tular sejak semalam menunjukkan wanita itu mengeluarkan kata-kata menghina terhadap seorang anggota berpangkat rendah.

Ia dikatakan berlaku semasa terlibat rondaan di kawasan Gombak baru-baru ini.

“Kau setakat lans koperal, kau tak layak, kau jadi pegawai dulu….pangkat dahlah rendah,” itu antara kata-kata hinaan oleh wanita yang mendakwa dirinya pegawai kanan itu.

Bagaiamanapun anggota berpangkat rendah itu dilihat tenang tanpa melawan teguran wanita berkenaan.

Pada masa yang sama, seorang lagi anggota sedang cuba menenangkan wanita itu demi meredakan situasi.

“Hei! Kau lans koperal…kau tak layak lah…kau pangkat lagi kecil dari aku…cara cakap macam OCPD (Ketua Polis Daerah) kau tak layaklah.

“Lans koperal berlagak macam apa? Lans koperallah kau…pangkat dah lah rendah, pangkat rendah!” cemuh wanita terbabit sambil diperhatikan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah medan selera sekitar Taman Seri Gombak dekat sini selepas dua anggota polis dipercayai sedang terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah komuniti.

Bagaimanapun, punca wanita itu berkelakuan sedemikian tidak dinyatakan sehingga orang ramai mula mempersoalkan rasional wanita itu berkelakuan sedemikian.

Rata-rata pengguna media sosial mendesak pihak pengurusan tertinggi polis menyiasat insiden itu dan mengambil tindakan ke atas wanita tersebut.

Mereka mendakwa wanita yang sama tidak menghormati serta bersikap profesional kerana bertindak menghina rakan sepasukan di khayalak ramai.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisoner Zainal Mohamed Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya dalam proses mengambil tindakan berhubung insiden berkenaan.

Satu kenyataan media mengenai tindakan susulan ke atas kejadian itu dijangka dikeluarkan pihaknya hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast