Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan Melaka perlu memberi jaminan pelaburan China bernilai RM3.5 bilion menerusi tujuh projek yang akan dibangunkan di negeri itu tidak mengulangi kegagalan pentadbiran terdahulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, kerajaan negeri perlu memastikan projek itu tidak terbengkalai dan menjadi gajah putih yang diwarisi semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Apakah projek ini akan menjadi sakit dan terbengkalai? Melaka berisiko mendapat projek sakit dan terbengkalai sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

“Banyak tanah kosong dan terbiar di Kota Laksamana dan Klebang, projek terbengkalai di Pulau Melaka serta projek monorel yang wujud sejak zaman Tun Mohd Ali Rustam menjadi ketua menteri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Melaka bakal menerima pelaburan bernilai RM3.5 bilion menerusi tujuh projek dengan kerjasama Cheng Ho International Trade and Cultural City Centre Sdn Bhd dan syarikat pelabur dari China.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua projek berkenaan akan dibangunkan setelah proses permohonan pelaksanaannya diluluskan oleh pihak berkuasa negeri.

Salah satu projek yang dilihat akan memberi impak besar kepada Melaka ialah Menara Asean-China setinggi 88 tingkat yang akan dibangunkan di Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Mohd Aleef juga mempersoalkan pembangunan tujuh projek itu didakwa mengutamakan identiti China dan dikhuatiri mengancam kebudayaan lain di negeri itu.

“Bagaimana dengan identiti bangsa Melayu yang menjadi teras dan majoriti kaum di negeri ini? Bagaimana pula dengan kaum-kaum lain termasuk India, Portugis, Baba Nyonya dan Chetti di negeri ini.

“Setiap projek tersebut mesti memberikan manfaat kepada semua kaum dan mengetengahkan identiti kaum lain terutamanya bangsa Melayu,’ katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga digesa untuk menarik pelaburan dari negara lain juga memajukan Melaka dan tidak tertumpu pelaburan hanya dari China sahaja.

“Ada kebimbangan rakyat yang menyifatkan projek ini mampu meneggelamkan identiti asal negeri ini yang bertunjangkan identiti bangsa Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette