SEMAKAN semula struktur fi semasa penjagaan kesihatan awam merupakan salah satu perkara yang dibentangkan dalam Kertas Putih Kesihatan Awam yang diluluskan Dewan Rakyat dalam sidang semalam.
Di bawah Tonggak 3: Memastikan Pembiayaan Kesihatan yang Mampan dan Saksama, kertas putih yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa itu menyatakan, secara amnya, kadar fi yang rendah membolehkan akses kepada sistem kesihatan pada kos yang berpatutan.
Namun, struktur fi yang sama untuk semua individu telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan dan keupayaan untuk membayar, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.
Sehubungan itu, Kertas Putih Kesihatan mencadangkan agar kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) akan dikaji semula agar lebih sepadan dengan tahap kemampuan.
Tiada siapa dapat menafikan bahawa fi atau kadar bayaran yang dikenakan terhadap pesakit yang menerima rawatan atau pemeriksaan kesihatan di fasiliti kendalian KKM adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan caj di klinik atau hospital swasta.
Misalnya, caj bagi pesakit luar di klinik dan hospital di bawah KKM adalah RM1 sahaja dan ia merangkumi kos ubat yang dibekalkan manakala klinik pakar kerajaan pula mengenakan caj RM5 sahaja bagi lawatan susulan dan berikutnya.
Sebagai perbandingan, pesakit luar di klinik swasta ketika ini lazimnya perlu membayar sekurang-kurangnya RM70 untuk konsultasi serta ubat.
Dari segi caj wad pula, hospital kerajaan, sebagai contoh, hanya mengenakan caj sebanyak RM3 sehari kepada pesakit yang dimasukkan wad am kelas tiga dan kadar itu merangkumi penyediaan makanan dan minuman sepanjang hari.
Sudah tentu, caj wad yang dikenakan oleh hospital swasta jauh lebih mahal yang mana pesakit perlu membayar ratusan ringgit sehari, tidak termasuk kos rawatan yang boleh mencecah ribuan ringgit.
Realiti pahit yang terpaksa ditelan kita semua adalah kos jagaan kesihatan di negara ini semakin meningkat ekoran kenaikan harga ubat, peralatan perubatan dan kos-kos lain yang berkaitan seperti penyediaan makanan dan gaji.
Pada masa yang sama, KKM berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik di kesemua fasiliti kesihatan kerajaan walaupun terpaksa berdepan kekangan kos yang semakin meningkat.
Walaupun kerajaan menyediakan peruntukan yang besar setiap tahun bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat, langkah itu sukar diteruskan sekiranya ekonomi negara yang terjejas teruk akibat krisis pandemik Covid-19 masih belum pulih.
Jadi, memang amat wajar jika kajian semula fi penjagaan kesihatan awam dilakukan agar beban kewangan yang semakin besar ditanggung kerajaan dapat dikurangkan.
Setakat ini, masih belum diketahui bagaimana penstrukturan semula fi tersebut akan ditentukan khususnya dari segi kadar bayaran baharu terhadap pesakit.
Apa yang pasti, Kertas Putih Kesihatan memberi jaminan bahawa jaringan keselamatan isi rumah berpendapatan rendah akan dikekalkan dan ini bermaksud, penstrukturan semula fi mungkin hanya melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.
Dalam hal itu, KKM juga boleh mempertimbangkan untuk mengekalkan kadar sedia ada bagi pekerja swasta berpendapatan sederhana sekiranya majikan mereka tidak menyediakan kemudahan manfaat rawatan kesihatan penuh.
Langkah tersebut dapat membantu mengurangkan beban golongan berkenaan yang kini memilih fasiliti kesihatan awam untuk mendapatkan rawatan susulan ekoran caj yang dikenakan klinik swasta adalah jauh di luar kemampuan mereka.
Sebaik-baiknya, KKM mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan khususnya rakyat dalam menentukan struktur fi yang baharu agar ia tidak membebankan namun pada masa yang sama, dapat membantu kerajaan menangani kenaikan kos jagaan kesihatan. – MalaysiaGazette