Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard.

SHAH ALAM – Mahkamah Sivil Baru (NCVC) 2 Shah Alam hari ini menetapkan 7 Julai ini untuk keputusan mediasi berkaitan kes saman syarikat SM Track Sdn. Bhd terhadap aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin.

Keputusan itu ditetapkan Hakim Zaharah Hussain selepas mendengar hujahan daripada kedua pihak iaitu peguam Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai cheguBard serta peguam syarikat RFID itu pagi ini.

Kes itu didengar di Mahkamah Tinggi Sivil NCVC 2, Kompleks Sultan Salahuddin Abdul Aziz Aziz berhubung pendedahan CheguBard berkenaan pelantikan menantu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai lembaga pengarah syarikat itu.

Beliau juga turut berdepan dengan saman SM Track atas kes mengkritik kelemahan pelaksanaan RFID di plaza tol seluruh negara.

CheguBard tiba di mahkamah pukul 9.30 pagi bersama peguamnya dari Chetan Jethawani & Co dan kesnya didengar di hadapan Zaharah.

Sementara itu, CheguBard ketika ditemui berkata, hari ini merupakan proses mediasi terhadapnya yang dikemukakan oleh syarikat SM Track iaitu sebuah syarikat pembekal teknologi RFID.

Katanya, beliau menerima surat saman daripada taikun, Tan Sri Lee Kim Yew dan telah menjelaskan perkara sebenar apa yang dilakukannya berhubung kritikan itu.

Bagaimanapun, selepas penjelasan itu, Kim Yew tidak meneruskan tindakan undang-undang ke atasnya sebaliknya syarikat SM Track kekal dengan keputusan menyaman beliau.

“Hari ini, kedua-dua pihak iaitu plaintif dan saya selaku defendan akur dengan nasihat Hakim Zaharah yang mana kita kena melalui proses mediasi.

“Sehubungan itu, hakim menetapkan 7 Julai ini sebagai keputusan mediasi itu dan hari ini juga saya menyatakan hak saya sebagai rakyat Malaysia dalam membuat kritikan itu. – MalaysiaGazette