JOHOR BAHRU – Masalah kesesakan yang berlaku sekian lama di di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dijangka akan berkurangan dengan adanya penambahan petugas kesihatan di kedua-dua hospital awam itu.
Berita baik itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pagi ini yang mana menurutnya, HSI dan HSA bakal menempatkan seramai 243 petugas kesihatan pada bulan ini dan bulan depan.
Selain itu, dua wad yang ditutup di HSI sebelum ini juga akan dibuka kembali ekoran penambahan petugas kesihatan di hospital berkenaan.
“Sukacita saya maklumkan bahawa wad 9A dan 10A di HSI yang ditutup sejak tahun lalu ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) telah dibuka kembali sejak kelmarin. Pembukaan semula wad itu ekoran penambahan 33 petugas minggu ini, selain itu akan ada 60 lagi penambahan petugas di hospital itu bulan depan.
“Sementara itu di HSA pula 150 petugas kesihatan akan ditambah dalam waktu sama. Dengan penambahan tenaga kerja ini sudah pasti ianya akan mengurangkan beban kerja petugas sedia ada.
“Dengan penambahan itu juga ia sudah pasti dapat meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kesihatan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke HSI hari ini.
Dalam pada itu, menurut Onn Hafiz, kerajaan Johor juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan terutamanya Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam yang telah meluluskan penambahan petugas kesihatan negeri ini.
Jelas beliau, bagi menambahbaik perkhidmatan HSI, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM500,000 bagi penambahan parkir kenderaan awam.
Manakala RM100,000 pula untuk pembelian peralatan termasuk kerusi dan meja demi keselesaan petugas kesihatan dan pesakit.
“Selain itu, Dr. Zaliha juga dijadual melawat hospital di negeri ini pada hari Ahad dan kami akan bincangkan mengenai projek pembinaan HSA 2 yang amat diperlukan di Johor.
“Kita harapkan perkara ini dapat diselesaikan segera kerana Johor menjadi pusat kesihatan bukan sahaja pesakit negeri ini, tetapi kita juga pesakit dari Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka,” jelasnya.
Pada Jun lalu, media melaporkan Onn Hafiz merayu kerajaan Persekutuan agar dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat di negeri ini terutama HSI dalam kadar segera.
Penyelesaian itu, katanya, amat penting bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik disalurkan kepada rakyat.
Masalah itu dibangkitkan dalam lawatan di HSI bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Norazman Ayob baru-baru ini.- MalaysiaGazette