KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama berkongsi maklumat bagi menjalankan siasatan tentang kewujudan naungan politik yang didakwa melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di dalam negara ini.
Berikutan perkembangan terkini itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM telah menerima maklumat terdapat penglibatan pihak politik dalam aktiviti judi online.
“Kini, PDRM dan SPRM sedang berkongsi maklumat siasatan bagi menentusahkan dan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.
“Oleh demikian, PDRM mengulangi komitmen tidak akan membiarkan kegiatan yang menimbulkan kemudaratan kepada masyarakat dan negara serta segala langkah yang diambil adalah berteraskan undang-undang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.
Acryl membuat kenyataan itu selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan terdapat ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini semasa sesi persidangan Parlimen kelmarin.
Saifuddin berkata, perkara itu menjadi kekangan terbesar KDN, PDRM dan kerajaan membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa dan bermaharajalela di negara ini.
Saiffuddin berkata demikian di Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan Ali Parlimen PH-Sungai Buloh, Datuk R.Ramanan yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jika benar wujud naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian haram di negara ini.
“Ya memang wujud elemen naungan politik ke atas pengendali judi dalam talian dan saya sahkan.
“Dari situ wujudnya pengaruh dan perlindungan, dari situ juga datangnya rasuah dan sogokan,… tipis kehendak politik untuk mengadakan dan memperbaharui tekad untuk memerangi perkara ini habis-habisan, jadi pusingannya adalah pemain dinaungi dan dia membalas tuan politik yang melindunginya agar tindakan tidak diambil… polis faham sungguh-sungguh dengan pola ini,” katanya semasa sesi pertanyaan Menteri pada pagi Khamis.-
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin yang juga Ahli Dewan Negara memaklumkan pindaan perlu dibuat segera dalam Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 agar pengendali platform berkenaan boleh dihadapkan ke muka pengadilan.-MalaysiaGazette