Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki beramah mesra dengan para tetamu selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tiga Tahunan Kali Ketiga Malaysian Corruption Watch (MCW) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum mempunyai maklumat yang boleh mengaitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kontrak gentian optik Telekom Malaysia Berhad kepada Opcom Sdn Bhd bernilai RM214.2 juta pada 2003.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menggesa agar pihak-pihak yang mempunyai maklumat
jika mengetahui adanya kesalahan rasuah membabitkan bekas perdana menteri itu supaya membuat aduan kepada pihaknya.

“Saya tiada maklumat berkenaan itu. Apa yang boleh saya katakan adalah sebarang maklumat dan aduan sekiranya mempunyai asas dibawah kesalahan rasuah maka kalau jika ada asas untuk disiasat, maka kita tidak akan teragak-agak untuk menyiasat.

“Jadi, kita perlukan maklumat-maklumat tertentu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Serdang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media berhubung gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya SPRM segera menyiasat Dr Mahathir berhubung perkara tersebut.

Semalam, Mohd Puad menerusi hantaran di Facebooknya memetik pernyataan pembelaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengaitkan Dr Mahathir dengan kontrak gentian optik Telekom Malaysia Berhad kepada Opcom Sdn Bhd bernilai RM214.2 juta pada 2003 sebagai amat serius.

Menurut Mohd Puad, ketika itu, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri manakala Opcom dikaitkan dengan anaknya, Datuk Seri Mukhriz selaku pengarah syarikat.

Puad memberitahu, rakyat sudah bosan dengan hipokrasi Dr Mahathir yang didakwa bersikap zalim terhadap orang lain serta merasakan dirinya kebal.

Kelmarin, Anwar mendakwa, Telekom Malaysia mengeluarkan surat kepada Kementerian Kewangan pada 15 September 2003 untuk meminta kebenaran mengadakan rundingan terus dengan Opcom bagi projek tersebut.

Ketika itu, Dr Mahathir turut memegang jawatan Menteri Kewangan.

Menerusi pembelaan terhadap saman difailkan Dr Mahathir, Anwar berkata, Telekom Malaysia adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang satu saham khas yang memberikan MKD kuasa untuk menolak keputusan lembaga dan pemegang saham lain.

Beliau berkata, MKD pada masa itu berada di bawah kawalan dan arahan Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Tuntutan saman difailkan Dr Mahathir di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman, Tetuan Law Practice of Rafique pada 3 Mac lalu dengan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Dr Mahathir mengemukakan saman fitnah itu dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Pelaksanaan Sebuah Idealisme’ pada Mac lalu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, kenyataan Anwar dalam ucapannya pada kongres itu membawa maksud beliau membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkait dengan harta, aset atau saham milik keluarganya. – MalaysiaGazette