SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan tidak mustahil gabungan parti itu boleh menakluk Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini walaupun negeri itu adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH).
Ketua Dewan Pemuda PN, Fadhli Shaari menegaskan, perkara itu sama seperti sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menawan Kota Konstantinopel melalui strategi yang tidak masuk akal.
“Untuk menawan Selangor bukan tugas yang mudah. Selangor merupakan benteng pertahanan terakhir dan kebanggaan PH tetapi dengan izin Allah, kita akan robohkan benteng ini untuk ke Shah Alam.
“Manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu pula kita pertahankan dengan kemenangan bergaya.
“Perjuangan yang dianggap mustahil ini sebenarnya bukan mustahil pada kita. Sultan Muhammad Al Fateh menawan Konstantinopel dengan gerakan kerja yang mustahil pada pandangan akal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Himpunan Pelancaran Jentera Pemuda Perikatan Nasional di I-City Convention Centre (ICCC) di sini petang ini.
Fadhli juga menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil gabungan PH dan UMNO adalah sebuah kerajaan yang rapuh dan berada di hujung tanduk.
Jelas beliau, anak muda sudah menyampah dengan kerajaan yang menjanjikan hampas kosong kepada rakyat selama lebih enam bulan memerintah.
“Enam bulan kamu sebagai kerajaan, hampas kosong yang kamu persembahkan kepada rakyat, buat sidang Parlimen tidak ada agenda yang betul-betul memberi manfaatkan kepada rakyat.
“Enam bulan memerintah, apa yang rakyat dapat? Ringgit turun, harga barang naik, OPR naik. Sembang, inilah kerajaan sembang.
“Dulu mereka salahkan kerajaan PN kenapa ringgit tidak naik-naik? Sekarang, kita tak nak salahkan kerajaan 100 peratus tetapi waktu kamu sebagai pembangkang, seolah kamu bercakap macam kamu malaikat,” tegasnya.
Katanya, apabila menjadi kerajaan, ia umpama kerajaan yang sedang mengelabah dengan kebangkitan rakyat.
“Kita mahu beritahu kepada mereka yang sedang berada di Putrajaya, dalam PRN ini, Saluran 6, 5 dan 4 saluran anak muda sekali lagi akan menolak UMNO dan PH,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, PN boleh sahaja bergabung dengan PH dan Barisan Nasional (BN) selepas keputusan PRU15.
Bagaimanapun, kebijaksanaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak gabungan itu kerana sudah tahu keburukan bakal berlaku jika berada dalam kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalaulah Abah (Muhyiddin) memilih jalan singkat untuk bergabung dengan kerajaan hari ini, boleh sahaja dibuat tapi berkat ijtihad politik Tuan Guru (Hadi Awang), kita lihat hampir enam bulan ini, Allah telah tunjukkan rupa sebenar Perdana Menteri ke-10, BN dan hipokrasinya DAP serta parti Amanah.
“Kita sebagai jentera, yang diajar tarbiyah mesti wala’ kepada pimpinan. Biarlah orang kata kita walaun, tak apa kerana kita wala’ kepada kebenaran.
“Justeru, saya yakin, seluruh jentera PN kalau kita boleh buat dan buktikan kejayaan sama seperti PRU 15, tidak mustahil kita akan tawan enam negeri pada PRN ini,” katanya. – MalaysiaGazette