BANGI – Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, misi beliau adalah bagi membantu Perikatan Nasional yang merupakan wadah politik baharunya merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
“Dalam PRN ini saya tidak bertanding kerana saya ingat cukuplah saya bertanding, bagi calon muka baharu.
“Di Selangor ini pun ramai tokoh muda tapi saya akan turun berkempen kerana saya nak meneruskan perjuangan saya sejak 2008 BN kalah dengan PH, perjuangan saya sehingga sekarang untuk kalahkan PH di Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian pada siri jelajah Selangor Baharu Parlimen Bangi, semalam yang turut hadir adalah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Noh sebelum ini pernah menafikan bahawa beliau akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) malah berkata isu berkaitan calon hanya akan diputuskan kepimpinan parti dalam gabungan itu.
Januari lalu, bekas Menteri Barisan Nasional (BN) itu disingkirkan daripada UMNO selepas memohon dipecat berbanding hukuman asalnya iaitu digantung selama enam tahun.
Media sebelum ini melaporkan anak Noh, Nurul Shazwani akan bertanding merekrut salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tangjong Karang atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazette