V. Sivakumar.

SEREMBAN – Kementerian Sumber Manusia akan meneliti isu pemberian elaun kepada mahasiswa yang menjalani latihan industri atau ‘intern’.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, isu berkenaan perlu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan.

Ini kerana menurut beliau, mahasiswa yang menjalani latihan indusri tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma.

“Bagi saya, perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan, perkara ini juga telah dibangkitkan dalam International Labour Conference supaya ia diberi pertimbangan sewajarnya di seluruh dunia.

“Intern ini tidak boleh dianggap buruh percuma, kita akan meneliti perkara ini dan saya akan beri maklum balas dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pelajar universiti awam menyifatkan mereka bukan buruh percuma.

Wanita tersebut memaklumkan terdapat latihan industri menawarkan elaun dengan jumlah yang kecil malah ada yang tidak memberi elaun langsung.

Sivakumar berkata, pihaknya akan memberikan maklum balas yang sewajarnya dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, secara prinsipnya bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh mahasiswa tersebut.

Sivakumar sebelum itu menyampaikan faedah kepada dua orang berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) R Chandran, 40 dan Leong Tai Hee, 49.-MalaysiaGazette