Steven Sin ketika merasmikan Jejantas City Link (City Link Skybridge) di Jalan Trus petang tadi.

JOHOR BAHRU – Pembinaan jejantas yang menghubungkan Coronation Square ke stesen Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS) di JB Sentral bakal membantu pertumbuhan ekonomi di negeri itu, selain memberi kesejahteraan kepada rakyat negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim berkata, projek bernilai RM50 juta itu merupakan satu inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Kerjasama Awam Swasta (PPP) dan Dana Mudah Cara.

“Coronation Square ini nanti adalah sebahagian daripada projek berprestij yang dilancarkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 2015 lalu bagi memastikan negara menang dalam perlumbaan ekonomi, khususnya di Asia Tenggara.

“Untuk makluman semua jejantas sepanjang 280 meter ini akan mengambil masa empat minit sahaja bagi perjalanan dari Coronation Square ke JB Sentral dan ini adalah menara yang pertama untuk projek pembangunan seumpama ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Jejantas City Link (City Link Skybridge) di Jalan Trus petang tadi.

Projek ini dijangka siap pada bulan Julai ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman pula berkata, kewujudan jejantas yang menghubungkan Coronation Square ke JB Sentral itu  bakal menjadi faktor pemacu kepada projek-projek lain di bandar raya berkenaan.

Malah katanya, projek itu juga bakal menjadikan Johor Bahru sebagai wajah baharu kerana ia adalah projek mesra pejalan kaki.

“Sudah pasti projek sebegini mampu melihatkan suasana baharu di Johor Bahru ini  sekali gus memberi kesan baik kepada semua pengguna apabila ia siap kelak.

“Saya sebagai Datuk Bandar mengalu-alukan projek seumpama ini kerana ia akan menjadi pemangkin kepada kesinambungan semua projek lain yang akan berlaku di negeri ini nanti,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast