Letusan Gunung Berapi Mayon. foto Inquirer

MANILA – Sekurang-kurangnya 628 orang telah jatuh sakit selepas ditempatkan di pusat perlindungan akibat letusan Gunung Berapi Mayon, gunung berapi paling aktif di Filipina.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan merekodkan sekurang-kurangnya 10 jenis penyakit yang dihidapi mangsa yang dipindahkan berumur antara 2 hingga 64 tahun, termasuk batuk, selsema, demam, gastroenteritis, jangkitan pernafasan akut dan penyakit kulit.

Agensi pengurusan bencana berkata, hampir 39,000 orang telah terjejas akibat etusan Mayon, yang bermula pada 8 Jun lalu.

Pihak berkuasa tempatan telah memindahkan lebih 20,000 penduduk kampung yang tinggal di zon bahaya di sekitar Gunung Berapi Mayon berbentuk kon di wilayah Albay, kira-kira 500 kilometer dari tenggara Manila.

Wilayah itu, di bawah keadaan bencana, telah menubuhkan 28 pusat pemindahan untuk orang yang kehilangan tempat tinggal, biasanya di dalam bilik darjah sekolah.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pada Isnin merekodkan aliran piroklastik dari kubah lava gunung berapi yang runtuh selama tiga minit.

Kepulan sarat wap meningkat kepada 600 meter, dan institut itu mengekalkan tahap amaran tiga pada skala lima.

Gunung Berapi Mayon kali terakhir meletus pada 2018, mengakibatkan lebih 23,000 orang dipindahkan dari sembilan bandar dan majlis perbandaran. – Agensi