KUALA LUMPUR – Pemuda AMANAH mengusulkan agar kempen “Bayar Intern Kita” digerakkan di seluruh negara bagi menormalisasikan pembayaran elaun kepada semua mahasiswa.
Naib Ketuanya, Ammar Atan berkata, sebarang penindasan kebajikan mahasiswa boleh melemahkan semangat generasi muda khususnya lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran.
“Kempen “Bayar Intern Kita” diusulkan sebagai salah satu cara mengangkat kebajikan mahasiswa. Ia juga sebagai tanda solidariti kepada protes adik Rashifa Aljunied baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Rashifa yang juga seorang pelajar sebuah universiti awam melahirkan kebimbangan terhadap isu elaun untuk mahasiswa yang membuat latihan industri masih tiada jalan penyelesaian.
Rashifa yang bakal menjalani latihan tersebut pada Oktober ini menyuarakan kebimbangan bagaimana dia dapat bertahan sepanjang menjalani latihan industri tersebut.
Dalam pada itu, Pemuda AMANAH juga mengambil berat tentang kebajikan para majikan terutamanya pemilik perniagaan mikro dan kecil.
“Tidak adil untuk memaksa semua majikan yang sedang bergelut dengan kos perniagaan untuk membayar elaun tetap kepada semua pelatih latihan industri.
“Jika elaun mandatori dilaksanakan atas semua perniagaan, ia mengakibatkan ramai majikan menghentikan pengambilan intern dan seterusnya menutup peluang mahasiswa menimba pengalaman industri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk di negeri pembangkang diwajibkan melaksanakan elaun minimum RM900 hingga RM1,000 sebulan bagi setiap pelatih latihan industri.
“Ini juga terpakai kepada syarikat-syarikat swasta besar di Malaysia. Bagi perniagaan mikro dan kecil pula, semua majikan harus diwajibkan membayar elaun makanan dan elaun pengangkutan mengikut hari bekerja.
“Pemuda AMANAH mencadangkan agar kerajaan mengkaji kesan langkah ini atas keuntungan majikan dan jika perlu, kerajaan boleh mempertimbangkan insentif cukai khas atas pembayaran elaun.
“Ini akan membantu majikan menguruskan impak terhadap kos. Namun, selaras dengan hasrat utama kempen “Bayar Intern Kita”, mana-mana majikan yang berkemampuan digalakkan supaya membayar sejumlah elaun yang dapat menanggung kos asas harian mereka.
Selain itu, mereka juga meminta Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menilai semula keberkesanan Program Latihan Industri.
“Negara maju seperti United Kingdom dan beberapa negara Eropah tidak lagi melaksanakan latihan industri secara wajib dan ada yang telah mansuhkan program latihan industri tersebut.
“Ia digantikan dengan inisiatif yang lebih efisien dalam mengenal pasti bakat dan peluang pekerjaan buat mahasiswa di sana.
“Tiada gunanya kita bercakap soal mencapai status negara maju jika anak muda berpelajaran tidak dibayar setimpal dengan usaha mereka,” katanya.
Katanya lagi, produktiviti pelatih latihan industri seharusnya dipadankan dengan elaun yang sesuai dan jika tidak, para majikan tidak boleh mengharapkan kualiti kerja tinggi.
“Pihak syarikat bukan sahaja berperanan meningkatkan pulangan untuk pelabur, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial yang meliputi kebajikan di tempat kerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette