Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan pada sidang media berkenaan kejayaan tangkapan kes kecurian catalytic converter ekzos motokar di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2023.

SHAH ALAM – Dua pekerja alat kedai ganti yang aktif mencuri tabung penapis ekzos (Catalytic Converter) bagi mendapatkan bahan logam bernilai tinggi secara aktif sejak setahun yang lalu berjaya ditahan polis.

Kedua-dua suspek warga tempatan itu diberkas dalam dua serbuan berasingan di ibu negara semalam.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan itu dibuat selepas seorang pemilik Toyota Estima yang memakirkan kenderannya di lot stesen Mass Rail Transit (MRT) UPM Serdang pada pagi 12 Jun lalu mendapati tabung penapis ekzos keretanya hilang semasa mengambil pada jam 8.30 malam.

Tabung penapis ekzos itu mengandungi bahan bernilai tinggi seperti rhodium, paladium dan platinum yang masing-masing boleh mencecah harga antara RM130 hingga RM300 bagi setiap gram.

Rhodium adalah logam yang tinggi nilainya berbanding emas.

“Mereka ini dikatakan mengumpul tabung penapis ekzos itu sebelum dijual kepada sindiket lain sebelum dieksport ke Jepun dan Amerika Syarikat dengan anggaran harga jualan mencecah antara RM500 hingga RM2,500 bagi setiap satu unit di pasaran luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau bertindak atas aduan pengadu itu, lebih kurang 9.30 pagi semalam, sepasukan polis daripada Balai Polis Serdang menyerbu kawasan Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya dan menahan seorang suspek berusia 34 tahun.

Hasil soal siasat ke atas suspek pertama, polis menahan suspek kedua berusia 41 tahun.

Kedua-dua mereka ini menjadikan di tempat awam termasuk kawasan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) yang tidak mempunyai pengawal keselamatan untuk mencuri tabung penapis ekzos.

“Mereka hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk mencuri dan mensasarkan kereta Honda, Hyundai, Toyota, Lexus, Kia dan Mercedes serta Volvo.

“Berdasarkan aktiviti ini, kita tidak menolak kemungkinan mereka ada berhutang dengan ah long,” jelasnya lagi.

Hussein berkata, polis memandang serius kes itu ekoran terdapat 96 kes dalam tempoh 2021 hingga Jun tahun ini.

Katanya, hasil tangkapan kedua-dua suspek itu polis berjaya merampas sebanyak 45 batang tabung penapis ekzos bernilai RM30,000 bersama kelengkapan jenayah sekali gus berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian komponen ekzos sekitar Lembah Klang.

Mereka kini direman selama empat hari dan sedang disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette