Mengikuti misi kelima Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief baru-baru ini, yang menyampaikan bantuan keperluan asas kepada pelarian Syria.

ILBIB (SYRIA) – Syria perlu diakui sebagai sebuah negara yang cantik dengan pemandangan semulajadi bukit berbatu selain kaya dengan  sejarah tamadunnya.

Namun semuanya musnah sekelip mata akibat perang yang dilancarkan penganut fahaman Syiah di mana dianggarkan lebih 6.7 juta rakyatnya menjadi pelarian dalam negara mereka sendiri akibat daripada peperangan selama lebih sedekad.

Kebanyakan mereka tinggal dalam khemah pelarian di sekitar Syria untuk mencari perlindungan dan mendapatkan bantuan selain berhijrah di negara bersempadan seperti Turkiye.

Rutin harian mereka kekal sama apabila pelarian Syria yang tinggal di kem pelarian hanya duduk di khemah dan berkumpul sesama sambil mengharap ihsan bantuan yang datang terutama daripada organisasi luar negara.

Suasana kem pelarian Syria di Idlib.

Itu hanyalah secebis dari kisah pelarian Syria yang berjuang demi kelangsungan hidup mereka meskipun kini berstatus sebagai pelarian menumpang hidup di bumi sempadan Turkiye.

Bagaimanapun bukan semua ‘orang luar’ orang berpeluang merasai pengalaman berada di kem pelarian, apatah lagi mendekati secara mengharungi sendiri kehidupan mereka yang tersepit sebagai mangsa konflik peperangan.

Malah prosedur memasuki Syria dari Turkiye yang ketat dan perlu melepasi pemeriksaan tentera beberapa kali bukanlah satu tugasan yang mudah.

Mengikuti misi kelima Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief baru-baru ini, wakil MalaysiaGazette dapat menyaksikan sendiri keluarga pelarian Syria ini yang mengharapkan bantuan keperluan asas yang dibawa sambil menyelami erti kemanusiaan.

Kanak-kanak pelarian perlu mengharungi kehidupan ang tersepit sebagai mangsa konflik peperangan.

Gelagat mereka yang pantas beratur sebaik melihat kelibat lori bantuan membuatkan suasana di kem antara detik menyentuh hati walaupun hanya beberapa jam berjaya masuk di Idlib dan Halab gara-gara kekangan masa dan faktor keselamatan.

Hati bertambah sayu, apabila melihat kanak-kanak pelarian yang dikunjungi di khemah penempatan yang berebut gula-gula dan coklat yang dibawa empat sukarelawan PasRelief.

Perasaan bertambah terharu apabila keadaan fizikal mereka yang kurus di mana memakai pakaian yang daif dan kotor serta bersaiz besar selain ada yang berhingus dan mungkin kesan musim sejuk yang baru berlalu.

Melihat dengan mata sendiri keadaan kem pelarian, mereka mendiami khemah yang serba kekurangan, dibina menggunakan kanvas kitar semula yang uzur dan bertambah seksa lagi dengan catuan air dan elektrik setiap hari.

Wakil PasRelief mengunjungi satu khemah di kem pelarian di sempadan Syria.

Ini adalah situasi yang ditempuhi semua pelarian Syria selama ini di mana menjadi pengalaman cukup berharga sepanjang mendekati hidup mereka.

Khemah tempat ‘kediaman’ mereka turut menguji kesabaran diri kerana ruang yang sempit antara ruang tidur dan tempat menyimpan makanan sumbangan yang diterima.

Boleh dibayangkan bagaimana mereka mengharungi kehidupan sebagai pelarian dalam suasana musim sejuk sebelum dengan suhu persekitaran boleh berubah pada bila-bila masa di antara -10 hingga 10 darjah celsius di samping hujan dan salji yang boleh melanda pada bila-bila masa.

Ternyata cabaran hidup mereka bukan setakat ketika lari daripada konflik di wilayah negara asal, sebaliknya terpaksa berdepan pelbagai rintangan di tempat baharu yang belum pasti penghujungnya.

Wanita pelarian Syria sudah biasa menjinjing kotak bantuan keperluan asas yang berat.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat Aid4Turkiye&Syria, Mohd. Yusni Mat Piah melahirkan rasa syukur kerana dapat memasuki Syria untuk menyampai sendiri bantuan dan amanah rakyat Malaysia kepada pelarian negara itu.

Beliau yang Pengarah PasRelief berkata, apatah lagi empat misi sebelum ini menemui kegagalan untuk merentasi sempadan dari Turkiye itu atas faktor keselamatan dan risiko tinggi yang enggan diambil oleh rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara berkenaan.

“Misi ini digerakkan atas dasar keprihatinan juga kemanusiaan, dan ia akan terus dijalankan bagi memenuhi keperluan semasa mangsa gempa bumi.

“Pihak Aid4Turkiye&Syria amat menghargai komitmen serta keprihatinan rakyat Malaysia yang menyumbang melalui sekretariat ini dan Alhamdulillah misi ke-5 kali ini delegasi berjaya masuk ke Idlib dan Halab di Syria.

“Bagi mencapai perancangan bantuan, pihak sekretariat menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk terus menyumbang dan menyokong kempen Aid4Turkiye&Syria bagi menjayakan misi bantuan yang seterusnya,” katanya sambil memberitahu  maklumat lanjut mengenai bantuan boleh menghubungi sekretariat di talian +60173333881.

Selain Mohd. Yusni, turut menyertai misi kelima itu adalah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Semoga ada sinar buat kanak-kanak pelarian Syria.

Sementara itu, Pengerusi Aid4Turkiye & Syria, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, setakat ini, sebanyak lima misi kemanusiaan sudah disempurnakan bermula dengan kumpulan yang pertama berlepas ke dua negara terbabit pada 22 Februari lalu.

“Empat bulan sudah berlalu namun beribu lagi mangsa bencana gempa bumi melanda Turkiye dan Syria masih menagihkan simpati dunia.

“Tragedi besar berlaku pada 6 Februari lalu di bahagian tengah dan selatan Turki dan utara Syria mengakibat masih ramai umat Islam di sana menderita.

“Rata-rata mereka kehilangan anggota keluarga, tempat tinggal, harta benda serta terputus sumber pendapatan sekaligus menambahkan lagi kesulitan untuk meneruskan kehidupan.

“Bagi meringankan sedikit penanggungan atau sekurang kurangnya sebagai tanda keprihatinan, PasRelief bersama 39 NGO komited menggembleng tenaga bagi membantu mangsa di sana,” katanya. – MalaysiaGazette

Mengikuti misi kelima Aid4Turkiye&Syria di dua negara berkenaan anjuran PasRelief baru-baru ini,

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast