Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang bukti berlaku kesalahan jenayah yang dilakukan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“SPRM setelah mendapat laporan membuka kertas siasatan terhadap Datuk Mohd Nazlan berhubung kes rasuah. SPRM telah siasat secara teliti mengenai dakwaan tersebut dan mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan dan perkara ini telah dipersetujui oleh Peguam Negara,” kata Perdana Menteri.

Berkenaan konflik kepentingan Nazlan, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu yang sama telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan ketika menolak permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengemukakan keterangan tambahan atau bukti baharu.

“Dengan kata lain, isu konflik kepentingan telah diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Tinggi sementara itu pada 9 Ogos 2022 pihak defenden telah menarik balik dakwaan ke atas Hakim Nazlan.

“Alasan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah relevan kerana memuktamadkan kes ini bahawa sumber wang yang dikatakan diseleweng dari SRC International tidak relevan bagi tujuan pembuktian pertuduhan melibatkan kesalahan jenayah pecah amanah,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan di Dewan Negara hari ini.

Untuk rekod, Mohd Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan membabitkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO yang berdepan pertuduhan jenayah membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast