Paramedik memeriksa Bella Montoya yang berada dalam keranda selepas dia didapati masih hidup. foto Twitter

QUITO – Seorang wanita Ecuador disahkan meninggal dunia beberapa hari selepas dia yang dilaporkan sudah mati didapati bernafas semula di dalam kerandanya.

Bella Montoya, 76, pertama kali disahkan meninggal dunia oleh doktor di sebuah hospital di bandar Babahoyo minggu lalu.

Tetapi, selepas hampir lima jam di dalam keranda, saudaranya terdengar ketukan dari dalam keranda lalu, bergegas membawanya ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Selepas tujuh hari dalam unit rawatan rapi, Kementerian Kesihatan Ecuador mengesahkan dia meninggal dunia pada hari Jumaat akibat strok.

Bercakap kepada akhbar tempatan, anaknya, Gilbert Barbera berkata, “Kali ini ibu saya benar-benar meninggal dunia. Kehidupan saya tidak akan sama.”

Selepas kematiannya pada 16 Jun, Montoya telah dibawa pulang ke rumah mayat yang sama sebelum acara pengebumiannya di tanah perkuburan awam, lapor media tempatan.

Media tempatan melaporkan Montaya mengalami keadaan yang dipanggil catalepsy – yang mana seseorang mengalami sawan, kehilangan kesedaran, dan badan menjadi kaku.

Satu suruhanjaya pakar telah dikumpulkan oleh Kementerian Kesihatan Ecuador untuk mengkaji semula kesnya. – Agensi