Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang.

PUCHONG – Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) merayu agar kerajaan memberikan sekurang-kurangnya 20,000 metrik tan kuota pengimportan beras PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) kepada mereka.

Presidennya, Ismail Awang berkata, adalah amat relevan sekiranya mereka diberikan kuota tersebut kerana ia boleh diagihkan kepada ahli persatuan itu yang turut berada di Sabah dan Sarawak.

Katanya, ketika ini, Barim mempunyai seramai 140 ahli di seluruh negara yang kesemuanya adalah pemborong beras.

“Saya difahamkan kerajaan meluluskan 150,000 metrik tan kepada Bernas. Apa salahnya 20,000 metrik tan itu bagi kepada Barim untuk pengurusan beras juga, sebab ahli kita ramai.

“Bukan kalau diberi 20,000 (metrik tan) kerajaan luluskan jumlah itu dengan menggunakan AP Bernas bagi kepada Barim, kita boleh (menguruskan beras) sekurang-kurangnya kita dapat membantu masyarakat luar bandar terutama di Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Ismail rasa kasihan melihat penduduk yang tinggal di kawasan ladang-ladang di Sabah kerana mereka cukup sukar untuk mendapatkan beras yang merupakan makanan utama rakyat negara ini.

Katanya, sehingga hari ini, pihak terlibat sama ada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mahu pun Bernas masih belum mengadakan perjumpaan dengan persatuan itu bagi membincangkan perkara tersebut.

Ujarnya, Barim menyokong penuh langkah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyentuh berkenaan pemonopolian Permit import (AP) yang tidak harus diberikan kepada hanya satu syarikat iaitu Bernas.

Apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, kata beliau, menunjukkan keberanian untuk melakukan pembaharuan dan ia sememangnya dinanti-nantikan oleh semua pemain industri beras, terutamanya pemborong beras Barim.

“Barim amat mengalu-alukan atas keberanian Perdana Menteri yang menyentuh isu AP beras dan berharap hasrat itu diteruskan namun setelah lebih enam bulan hingga kini isu yang begitu hangat dan mahu diangkat oleh Perdana Menteri telah menjadi agak lesu,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar pihak terlibat dengan AP beras memberi perhatian yang sewajarnya supaya nasib pemborong bumiputera dalam perihal beras akan terbela. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Harga borong beras tempatan naik?