Lelaki berlagak samseng menunjukkan isyarat lucah dan memukul kepala pemandu wanita semasa turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah baru-baru ini.

PERKONGSIAN di media sosial baru-baru ini telah menyaksikan beberapa insiden yang menunjukkan perlakuan-perlakuan yang tidak sopan yang benar-benar berlaku dalam masyarakat hari ini. Terkenal dengan budaya Timur, Malaysia sepatutnya popular dengan budaya yang penuh dengan sopan santun dan berbudi pekerti mulia. Dengan kemudahan teknologi terkini yang digunapakai dalam pelbagai tujuan, media sosial seharusnya menjadi platform dalam mempromosi dan mengetengahkan sifat-sifat peribadi mulia masyarakat Malaysia.

Walaupun bukanlah insiden yang pertama terjadi, isu gengsterisme di jalan raya yang berlaku dalam masyarakat perlu dipandang serius oleh semua golongan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Baik agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu, semua agama mementingkan nilai-nilai yang baik dan murni dalam memelihara hubungan sosial sesama manusia apatah lagi dalam bermasyarakat.

Dalam insiden baru-baru ini, perlakuan yang boleh dianggap gangster jalanan yang melibatkan seorang individu telah membawa kepada laporan polis dan seterusnya berakhir dengan penangkapan terutamanya apabila satu lagi tuduhan berupa gangsterisme dilaporkan terhadap individu yang sama. Walaupun mempunyai sebab yang kukuh untuk berasa marah dengan kelalaian pemandu lain, namun bertindak kasar bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik terutamanya apabila bertindak mengasari fizikal individu yang lain.

Jika dilihat, pemandu-pemandu di Malaysia kebanyakannya perlu mengadaptasi diri dengan bertoleransi di antara satu sama lain terutamanya dalam situasi-situasi seperti kesesakan lalu lintas yang mencabar, pemanduan yang tidak cekap pemandu lain serta tindakan berbahaya sesetengah pemandu lain. Dalam kesesakan lalu lintas misalnya, sikap toleransi sebenarnya akan melancarkan lagi pergerakan trafik jika diamalkan. Penggunaan hon
yang adakalanya berbunyi kasar dan tidak sopan juga boleh mencerminkan sikap pemandu tersebut.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa dalam kalangan pemandu di jalan raya adalah termasuk daripada golongan yang baru belajar atau mendapat lesen, warga emas yang tiada pilihan untuk meneruskan kegiatan kehidupan seharian selain memandu sendiri walau penglihatan sudah semakin kabur, pemandu yang sedang menghadapi kecemasan dan menyebabkan kurangnya fokus kerana mahu cepat sampai ke destinasi, pemandu yang sedang menghadapi krisis yang sangat sukar yang menyebabkan hilangnya fokus terhadap pemanduan, pemandu yang keletihan kerana melakukan pelbagai kerja dalam satu hari, dan pemandu-pemandu yang adakalanya cuai dalamm memandu.

Semua keadaan pemandu yang disebutkan boleh mengakibatkan pemandu lain menjadi terganggu dan seterusnya boleh menimbulkan keadaan tidak selesa atau marah. Dalam hal seperti ini, perkataan berbentuk makian akan mudah digunakan sama ada dalam kenderaan sendiri atau yang lebih mencabar, memaksa pemandu lain untuk berhenti dan mendengar maki hamun, atau mungkin menghadapi perlakuan agresif yang menyentuh atau mengasari fizikal. Dalam keadaan marah, ramai yang kadang-kadang tidak sedar akan tindakannya yang menurut nafsu amarahnya. Disebabkan itu, sifat sabar ketika berada di jalan raya adalah sangat perlu setiap masa.

Walaupun boleh dikatakan remeh, namun respons seseorang individu sebagai pemandu di jalan raya boleh memberi impak yang besar terutamanya terhadap penumpang atau pembonceng yang bersama-sama dengan pemandu tersebut. Lebih menyedihkan, jika penumpang kenderaan terdiri daripada anak-anak kecil yang sedang belajar dan melihat kepada perlakuan yang ditunjukkan pemandu. Keadaan ini akan melahirkan pemandu generasi akan datang untuk mengamalkan sikap yang sama atau lebih teruk daripada contoh yang dilihatnya kerana menganggap bahawa ia adalah satu perlakuan normal di jalan raya. Dengan pelbagai kemajuan teknologi yang semakin berkembang, mentaliti masyarakat seharusnya selari dengan kemajuan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Sudah tiba masanya untuk masyarakat kembali berpegang kepada prinsip-prinsip agama yang mementingkan moral dan nilai-nilai murni seperti tidak mementingkan diri sendiri, mengawal sifat marah, dan memperbanyakkan bersabar apabila berada di jalan raya. Penggunaan hon dengan bunyi yang pendek dan bersopan misalnya untuk berkomunikasi dengan pemandu lain sebagai tanda menegur bahawa lampu isyarat telah hijau, atau cuba memberitahu bahawa kenderaan pemandu tersebut berada terlalu dekat, bertolak ansur memberi jalan kepada pemandu lain dan berfikiran positif dalam banyak keadaan akan lebih memberikan aura yang positif terhadap pemanduan masing-masing. Semua ini perlu terutamanya dalam sama-sama menjaga keselamatan diri dan pemandu lain yang seterusnya akan mengurangkan tekanan apabila berhadapan dengan situasi yang mencabar di jalan raya.

Disebabkan itu, mungkin kempen kesedaran dalam bentuk perlakuan pemandu jalan raya perlu diperbanyakkan di sepanjang jalan raya berbanding hanya mempromosikan produk-produk yang ada di pasaran. Kempen berhemah dan bersopan yang mungkin boleh digantikan dengan bunyi hon dan memberi ruang kepada kenderaan yang baru keluar dari susur jalan raya juga mungkin boleh membantu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat. Kesedaran kendiri serta iklan atau kempen pemaduan berhemah ini boleh menjadi contoh tidak hanya kepada masyarakat Malaysia, tetapi juga boleh menjadi identiti pemandu Malaysia kepada masyarakat luar sesuai dengan budaya Timur terutamanya melalui perkongsian di media sosial. Secara tidak langsung, mungkin akan mengurangkan perlakuan gengsterisme di jalan raya dalam menjaga kemaslahatan pemandu-pemandu di Malaysia.

Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)