Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang bercakap kepada media mengenai su bekalan beras BERNAS, kualiti beras dan harga beras di Pusat Aktiviti Warga Emas Kampung Sri Langkas Tambahan, Puchong. Foto MOHD ADZLAN 20 JUN 2023.

PUCHONG – Kerajaan diminta supaya mempertimbangkan cadangan agar diwujudkan satu skim beras murah yang dipanggil ‘beras rahmah’ untuk kegunaan golongan B40 dan M40.

Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang berkata, jika kerajaan boleh meneruskan pelbagai subsidi seperti ayam dan telur, tidak ada sebab cadangan untuk mewujudkan skim tersebut tidak boleh diwujudkan.

Katanya, jika Barim diberikan satu peranan dalam mengelola perkara ini, kerjasama untuk melaksanakannya boleh dibuat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) agar matlamat untuk membantu golongan berkenaan tercapai.

“Kita tengok selepas endemik (selepas Covid-19) ini, golongan M40 dan B40 begitu terkesan.

“Saya nak beritahu terutamanya di Sabah di kawasan pendalaman yang saya pergi, memang amat-amat cukup susah nak dapatkan beras terutamanya di kawasan estet-estet.

“Jadi, kita meggesa jika Barim diberi peranan, Perdana Menteri perlu melihat semula cadangan Barim berhubung perkara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam temu bual eksklusif, hari ini.

Ujarnya, Barim pernah melakukan usaha seperti itu ketika program Beras Subsidi ST-15 dan ia berjaya menunjukkan hasil.

Ujarnya, walaupun ia tidak mencakupi 100 peratus keseluruhan kejayaan, namun 85 peratus usaha diakukan berjaya.

Tambahnya, meskipun isu-isu remeh dalam melaksanakan program seumpama itu ditemui, namun tidak mengganggu keseluruhan rancangan kerana ia merupakan adat dalam melaksanakan sesuatu.

“Tapi, sekurang-kurangnya program beras bersubsidi itu berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, andai kata cadangan untuk mewujudkan skim beras rahmah itu dipersetujui kumpulan sasar terbesar yang akan menikmatinya adalah veteran tentera yang berjumlah lebih 300,000 orang.

Katanya, golongan tersebut sangat memerlukan dan jika Barim diberikan peranan kerjasama akan dijalin dengan veteran-veteran tersebut untuk sama-sama membantu menjayakannya.

“Sebab itu saya harap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), berilah sedikit kelonggaran kepada Barim sekurang-kurangnya untuk mendapat sekurang-kurangnya 20,000 metrik tan beras sebulan.

“Insya-Allah, kita akan dapat menyelesaikan banyak masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka yang merupakan golongan sasar,” jelasnya. – MalaysiaGazette