Koleksi buku-buku Hamka

HAMKA iaitu akronim kepada Haji Abdul Malik Karim Amrullah ialah seorang pendita, penyair, penceramah dan pendakwah yang cukup terkenal di nusantara. Sosok pejuang Islam dan pendakwah Akidah Tauhid yang cukup kental di tanah Indonesia. Hamka, di dalam riwayat hidupnya yang penuh liku dan cabaran namun teguh mempertahankan prinsip dan ketakwaannya demi kelangsungan agama Islam.

Semasa pencerobohan Tentera Jepun, Hamka telah diangkat menjadi penasihat kepada Gabenor Nakashima yang menjadi pentadbir di Sumatera Timur. Disapa dengan panggilan ‘Hamka San’, pergerakan yang diketuai oleh Hamka iaitu Muhammadiyah dapat berjalan dengan baik. Selain itu, tindakan Jepun yang membunuh para ulama Islam dapat dihentikan setelah Hamka diangkat menjadi penasihat Islam kepada Nakashima.

Namun, akibat daripada prejudis, sangkaan dan fitnah, Hamka telah disisihkan dan dicerca oleh masyarakat setelah Jepun tewas dalam Perang Dunia. Walau bagaimanapun, Hamka tidak pernah berhenti dari meneruskan usaha dakwah dan tajdid demi memastikan umat di Indonesia kekal bersatu padu dan mengekalkan jati diri. Terdapat begitu banyak makalah coretan Hamka yang boleh dijadikan pedoman oleh politikus dalam membentuk negara bangsa dan struktur politik demi memastikan negara terus maju tanpa meninggalkan prinsip-prinsip Islam yang sebenar.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Novel ini merupakan karya agung Hamka yang menentang tradisi Minang yang dilihat bertentangan dengan prinsip Islam. Walaupun tulisan digarap menerusi plot-plot yang diaduk dengan coretan romantik, namun ianya tetap menekankan penentangan oleh Hamka ke atas tradisi yang membeza-bezakan masyarakat dan wanita. Di dalam novel ini, watak seperti Zainuddin, Hayati dan Aziz dicoretkan bagi menunjukkan betapa tradisi yang bertentangan negara prinsip Islam perlu ditolak oleh umat.

Karya ini mendapat sambutan yang begitu dahsyat di kalangan masyarakat pada waktu itu. Hal ini menjadikan majalah Pedoman Masyarakat menjadi begitu popular. Bahan bacaan utama ini kemudiannya dibukukan. Buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini juga pernah menjadi sumber kewangan bagi Hamka semasa beliau disisihkan dan dicerca oleh masyarakat kerana dianggap sebagai tali barut kepada Jepun. Walhal, Hamka ialah pejuang Islam yang cerdik dan pintar sehinggakan Jepun yang pada asalnya memusuhi ulama Islam akhirnya membenarkan Islam dan sekolah-sekolah agama beroperasi. Disinilah pedoman yang boleh dikutip oleh politikus pada zaman ini. Jangan kerana perbalahan politik, Islam menjadi mangsa dan dimangsakan demi kepentingan diri!

Tasawuf Moden
Makalah ini ditulis oleh Hamka bagi membidas golongan sufi dan ahli tasawuf yang menyimpang dari prinsip Islam. Tasawuf Moden menekankan sifat qanaah, ikhlas, bersedia untuk fakir dan kaya serta niat segalanya demi Allah swt dan Nabi Muhammad SAW, Hamka telah menterjemahkan tulisan beliau dalam perbuatannya apabila perjuangan Islam dikedepankan walaupun anaknya sendiri meninggal dunia. Hamka pernah berkata, ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja’.

Bagi Hamka, demi perjuangan Islam, wang ringgit, harta bahkan nyawa juga tidak boleh ditukar ganti. Hal ini jelas semasa Hamka menolak pemberian oleh Gabenor Jepun Nakashima yang ingin menghadiahkannya sebuah kereta. Di sini, para politikus perlu beringat, hadiah, wang dan harta boleh meranapkan perjuangan membangunkan Islam dan negara bangsa. Jadikanlah makalah Hamka ini sebagai pedoman untuk membangunkan negara dan agama seikhlas mungkin. Bukan dengan memenuhkan tembolok sendiri dan yang lainnya teraniaya!

Tafsir Al-Azhar
Tafsir ini dihasilkan melalui kisah sedih yang ditempuhi oleh ulama yang jujur seperti Hamka. Presiden Soekarno yang merupakan sahabat baik HAMKA sendiri telah menuduh bahawa terdapat usaha kudeta yang dilakukan oleh Hamka. Di awal tafsir ini terdapat kata-kata dari Hamka iaitu ‘Menurut peraturan akal sehat, polisi yang memeriksa itulah yang mesti mengemukakan bukti-bukti kesalahan yang dituduhkan, tetapi ini sebaliknya.’ Coretan ini jelas menunjukkan emosi Hamka namun ulama yang mukhlisin ini tidak bersedih namun menganggap pemenjaraannya adalah ketentuan Allah swt untuknya melengkapkan Tafsir Al-Azhar.

Tafsir Al-Azhar ini merupakan satu kitab yang memfokuskan kepada dua golongan iaitu mereka yang ingin menguasai ajaran Islam tetapi tidak mahir berbahasa Arab dan mereka yang ingin menjalankan dakwah agar ilmu menjadi lebih tajam dan tepat. Tafsir ini ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Hamka pernah berkata, ‘Islam dan Melayu itu bersatu, jika hilang M (mim), hilanglah Islam dan Melayu, Minang dan Kabau itu bersatu maka jadilah Minangkabau, jika Kabau sahaja akhirnya menjadi kerbau.’ Para politikus, perlu menjadikan kitab-kitab agama sebagai rujukan di dalam mentadbir negara bangsa bukan menggunakan dalil agama untuk kepentingan politik semata!

Akhirnya, Hamka, seorang ulama Islam yang jujur telah mencontohkan kepada kita semua bahawa prinsip dan perjuangan melakukan Islah adalah penting dan perlu berterusan. Di samping menjaga keikhlasan dan tidak menjual agama dan Tauhid untuk wang ringgit dan kuasa. Pedoman yang ditinggalkan oleh Hamka bukan sahaja untuk golongan politikus bahkan ianya sesuai bagi semua golongan dan lapisan masyarakat.

Makalah-makalah agung ini perlu menjadi bahan bacaan bagi setiap kelompok masyarakat. Mudah-mudahan kita mendapat petunjuk dan hidayah dariNya. Jadikanlah kata-kata Hamka berikut sebagai iktibar, ‘Cinta itu perang, yakni perang yang hebat dalam rohani manusia. Jika ia menang, akan didapati orang yang tulus ikhlas, luas pikiran, sabar dan tenang hati. Jika ia kalah, akan didapati orang yang putus asa, sesat, lemah hati, kecil perasaan dan bahkan kadang-kadang hilang kepercayaan pada diri sendiri’.

Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Bersekutu, Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM