Nancy menyampaikan anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPWKM 2022, di Pusat Konvensyen Bangi hari ini.

BANGI – Masyarakat diminta supaya memanfaatkan Talian Kasih bagi menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berlaku kes berkaitan tekanan jiwa dalam komuniti mereka.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya memerlukan sokongan orang ramai untuk sama-sama membantu masyarakat yang memerlukan kaunseling.

“Kalau berlaku apa-apa jangan tunggu, sila laporkan sebab kami mengharapkan sangat komitmen daripada masyarakat keseluruhannya untuk memberi maklum balas kepada kita.

“Jadi, cepat beri maklum balas ini melalui Talian Kasih, kita ada WhatsApp ada nombornya kerana kalau tidak ada tindakan segera, maka ia mungkin akan merugikan jiran, rakan, keluarga dan juga sesiapa sahaja yang ada di sekeliling kita.

“Maka kepekaan dalam kalangan masyarakat secara keseluruhannya amat penting supaya kita dapat sama-sama membantu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPWKM 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cabaran masyarakat hari ini apabila berlaku banyak kes tekanan jiwa hingga membawa maut termasuk melibatkan pegawai perubatan di Selangor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nancy mengakui banyak kes tekanan jiwa sejak kebelakangan ini dan pihaknya sentiasa sibuk melayan panggilan berkaitan perkara itu menerusi Talian Kasih yang disediakan KPWKM.

Katanya, KPWKM tidak pernah mengabaikan panggilan yang diterima kerana pihaknya menugaskan kakitangan bertugas untuk tiga syif setiap hari bagi menjawab setiap panggilan.

“Sebab itulah kita mempunyai komitmen yang amat tinggi sekali dalam memastikan rakyat sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Tambah Nancy, KPWKM sentiasa membantu dalam segala aspek termasuk dalam aspek kesihatan dengan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) untuk memberikan kaunseling kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, kaunselor di PSSS merupakan mereka yang terlatih dan mampu berinteraksi dengan semua lapisan masyarakat.

Untuk rekod, orang ramai boleh membuat laporan menerusi Talian Kasih di talian 15999 manakala untuk aduan pula di aplikasi WhatsApp di talian 019 – 261 5999.

Terdahulu, seramai 649 warga KPWKM menerima anugerah sebagai pengiktirafan bagi menyuntik semangat  warga kerjanya untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Kelaurga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast